KPKT keluarkan peringatan akhir susulan penguatkuasaan perintah khidmat masyarakat

Menterinya Nga Kor Ming berkata pegawai penguat kuasa sudah diarahkan untuk melaksanakan undang-undang baharu itu, yang bertujuan memperkukuh kebersihan awam serta tanggungjawab sivik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan peringatan akhir susulan perintah khidmat masyarakat bakal berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026, sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan lebih tegas terhadap tabiat membuang sampah di tempat awam.
Ringkasan AI
- KPKT mengeluarkan peringatan akhir berkenaan perintah khidmat masyarakat yang bakal dikuatkuasakan pada 1 Jan 2026 bagi membanteras tabiat membuang sampah di tempat awam.
- Warga termasuk warga asing yang melanggar perintah tersebut akan dikenakan denda RM2,000 dan tugas pembersihan awam selama 12 jam.
- Nga menekankan pentingnya kebersihan bandar sebagai tanggungjawab bersama dan kesan negatif tabiat membuang sampah terhadap imej negara dalam persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pada 25 Dis, Nga menegaskan bahawa kebersihan bandar menjadi tanggungjawab bersama dan bukan tugas kerajaan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata, selain menyuarakan kekecewaan kerana masih terdapat segelintir pihak yang membuang sampah, khususnya di pusat bandar dan kawasan awam.
"Malaysia sedang menuju ke arah negara maju dan akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026, sikap tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan imej bandar serta reputasi negara secara keseluruhan, termasuk dalam kalangan pelancong," katanya.
Beliau berkata kementerian menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) komited menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penguatkuasaan berterusan, namun kejayaan usaha itu bergantung kepada kesedaran serta kerjasama orang ramai.
Nga menggesa semua pihak supaya lebih bertanggungjawab apabila berada di kawasan awam semasa menyertai sebarang acara perayaan atau aktiviti, dengan membuang sampah ke dalam tong sampah serta mematuhi undang-undang bagi memastikan bandar yang bersih, selesa dan teratur untuk semua.
"Bandar yang bersih mencerminkan masyarakat yang berbudaya. Marilah kita menyokong usaha SWCorp dan PBT dalam memastikan bandar kita lebih bersih, mampan dan boleh didiami untuk generasi akan datang," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


