Ringkasan AI
- Pelan tindakan menangani kawasan tumpuan banjir akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 12 bulan sehingga Oktober tahun depan.
- Langkah meliputi pembersihan saliran, naik taraf sistem saliran, serta perancangan infrastruktur bagi mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan kesiapsiagaan.
- Setakat 7 Oktober, 284 lokasi berjaya dikeluarkan daripada senarai kawasan berisiko banjir, manakala 263 lokasi baharu dikenal pasti untuk tindakan segera.
PUTRAJAYA: Pelan tindakan menangani kawasan tumpuan banjir akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 12 bulan sehingga Oktober tahun depan, meliputi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata bagi jangka pendek, tindakan merangkumi pembersihan saliran, penyingkiran kelodak dan halangan serta pemeriksaan kolam takungan, rumah pam dan pintu air, bagi mengurangkan risiko banjir, khususnya menjelang Monsun Timur Laut.
“Bagi jangka sederhana, tumpuan diberikan kepada kerja menaik taraf sistem saliran dan menyelesaikan titik sempit aliran air berdasarkan penilaian teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Kick-Off Penyelarasan Pelan Induk Nasional Kawasan Tumpuan Banjir yang melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini.
Sementara itu, langkah jangka panjang melibatkan penyelesaian pada skala sistem saliran dan lembangan, termasuk perancangan infrastruktur yang mengambil kira perubahan guna tanah, pembangunan masa depan serta peningkatan risiko hujan ekstrem.
Nga berkata pengurusan risiko banjir memerlukan kerjasama bersepadu antara kementerian dan jabatan, berpandukan data tepat serta pembahagian tanggungjawab yang jelas, bagi memastikan tindakan berkesan dapat dilaksanakan di lapangan.
“Pelan induk nasional ini diharap dapat memperkukuh usaha pencegahan dan pengurangan risiko bencana banjir, di samping meningkatkan kesiapsiagaan serta menyokong mekanisme amaran awal demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata sebanyak 284 lokasi mudah banjir kilat berjaya ditangani dan dikeluarkan daripada senarai kawasan berisiko banjir, dalam tempoh tiga tahun.
Berdasarkan rekod Jabatan Kerajaan Tempatan setakat 7 Okt, sebanyak 1,445 lokasi mudah banjir kilat direkodkan di seluruh negara, berbanding 1,466 lokasi pada Januari tahun ini.
Beliau berkata pengurangan bersih sebanyak 21 lokasi itu, dicatatkan selepas 284 lokasi berjaya ditangani, manakala 263 lokasi tumpuan baharu dikenal pasti untuk tindakan intervensi segera.
Penyediaan pelan induk nasional itu, merupakan tindakan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Sept yang menetapkan pengurusan kawasan tumpuan banjir meliputi kawasan bandar, luar bandar dan perkampungan.
-- BERNAMA