NATIONAL
KPKT pertimbangkan akta baru atasi isu kelemahan pengurusan harta, bangunan

Nga berkata kelemahan perkhidmatan pengurusan hartanah di Malaysia merupakan isu lama berlarutan, yang menyebabkan kemerosotan dalam nilai aset hartanah terutamanya untuk bangunan berstrata. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mempertimbangkan akta baharu bagi menangani kelemahan isu pengurusan bangunan dan hartanah di negara ini.
Menterinya Nga Kor Ming berkata kelemahan perkhidmatan pengurusan hartanah di Malaysia merupakan isu lama berlarutan, yang menyebabkan kemerosotan dalam nilai aset hartanah terutamanya untuk bangunan berstrata.
Buat masa ini, beliau berkata hanya 594 firma berlesen untuk melakukan pengurusan hartanah, menyediakan perkhidmatan kepada 26,334 skim strata atau 2.91 juta unit rumah di Malaysia, bermaksud setiap firma bertanggungjawab kepada 44 skim strata atau 4,898 unit.
"Ini menunjukkan masalah serius, terdapat kekurangan jumlah firma berlesen untuk menyediakan perkhidmatan kepada semua skim strata, membawa kepada kualiti perkhidmatan yang lemah bagi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC)."Dalam masa sama, ia juga menyebabkan pertambahan pengurus hartanah tidak berlesen di seluruh negara," katanya pada ucaptama di Simposium Strata Antarabangsa di sini hari ini.
Nga berkata disebabkan itu, banyak pemilik dan penyewa hartanah terutamanya dalam skim strata berdepan kesukaran, ekoran kemerosotan nilai aset hartanah mereka akibat pengurusan yang lemah serta tidak mencukupi oleh pengurus hartanah tidak berkelayakan, tidak terlatih atau tidak jujur.
Menegaskan komitmen KPKT untuk melindungi kepentingan pembeli rumah, Nga berkata dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kementerian telah mula melibatkan persatuan dan kumpulan berkepentingan untuk mengkaji akta baharu yang komprehensif, yang akan memberi tumpuan kepada pengawalseliaan pengurusan harta dan bangunan semata-mata.
"Pada masa ini, pengurus hartanah dikawal selia bersama penilai, pentaksir dan ejen hartanah di bawah Akta 242 (Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981).
"Dengan mewujudkan akta baharu khusus untuk pengurus hartanah, kami menyasarkan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan harta di Malaysia, memastikan yuran penyelenggaraan dibayar pemilik atau penyewa digunakan sewajarnya," katanya.
Berhubung perumahan terbengkalai, Nga berkata setakat 28 Feb, Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai berjaya memulihkan 1,016 projek perumahan bernilai RM98.96 bilion, melibatkan 122,083 unit rumah sejak penubuhannya pada Disember 2022.
"Banyak keluarga terus membayar rumah yang mereka tidak boleh tinggal, bergelut dengan kos sewa. Malah, kesannya melebihi isi rumah individu.
"Projek terbengkalai menyebabkan kemerosotan kejiranan, mengurangkan nilai hartanah dan meningkatkan kebimbangan keselamatan, menjejaskan seluruh komuniti," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami