KEPALA BATAS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia bekerjasama dengan pihak tertentu bagi mengeluarkan garis panduan mengenai operasi inap desa bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran terhadap akta tertentu.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dan semua kerajaan negeri bagi menyediakan garis panduan tersebut demi keselesaan semua pihak.

Penyediaan garis panduan yang lebih jelas akan memudahkan pengusaha inap desa menjalankan aktiviti yang tidak menjejaskan ketenteraman masyarakat setempat seperti yang mungkin berlaku di kawasan perumahan bertingkat seperti pangsapuri atau apartment yang terikat dengan isu strata.

"KPKT akan meneliti dan melihat barangkali untuk bekerjasama mengeluarkan garis panduan yang bersesuaian tentang aktiviti homestay sebab kena ingat, aktiviti homestay ni di bawah Akta Industri Pelancongan.

"Tapi bila membabitkan soal bangunan, kadang kala KPKT yang akan mengeluarkan garis panduan. Oleh kerana ia bersifat pembinaan, kewujudan kediaman dan infrastruktur, maka garis panduan akan dikeluarkan KPKT," ujar beliau.

Reezal berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berhubung cadangan penutupan premis yang dijadikan operasi inap desa di kawasan pangsapuri yang dibimbangi boleh mengganggu ketenteraman orang lain.

Terdahulu, beliau menyaksikan acara sukaneka sempena program Visit My Kampung di Inap Desa Kota Aur @ PERDA, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Warisan, Kesenian, Budaya dan Pelancongan Pulau Pinang, Datuk Mohamad Yusoff Mohd Noor.

Menurut Reezal, kerjasama semua kerajaan negeri penting dalam menyediakan garis panduan baru atau mengukuhkan garis panduan sedia ada agar tidak bertentangan dengan akta di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau MOTAC.

Sementara itu, Reezal yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, pengusaha inap desa perlu mengambil kesempatan memajukan kawasan masing-masing kerana sektor pelancongan dilihat semakin pulih selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Apabila berakhirnya COVID-19 ini, wujud satu norma baharu, macam saya sebut iaitu 'travel revenge'. Mereka nak 'balas (dendam)' kerana lama sangat (terperap). Akhirnya ia telah menyebabkan berlaku peningkatan mendadak dalam industri pelancongan.

"Sekarang ada staycation... dua atau tiga hari orang nak tinggal dan untuk mereka yang dari KL, mereka cari Hulu Langat, atau Janda Baik.

"Saya yakin untuk negeri Pulau Pinang ini, dalam kalangan mereka yang duduk di bandar, mereka nak breakaway maka mereka akan cari tempat-tempat seperti ini. Sebab tu saya rasa potensi homestay atau inap desa ni amat penting," ujar beliau.

Kecenderungan pelancong domestik untuk tinggal beberapa hari di lokasi percutian sewajarnya memberi kelebihan kepada inap desa kerana pengunjung mahukan suasana yang berbeza selain bebas dari kesibukan di bandar.