NATIONAL
KPKT serah dokumen projek MyKioks kepada SPRM

Dokumen berkenaan diserahkan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali (kiri) di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini. - Foto KPKT
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menyerahkan dokumen berkaitan Projek MyKiosk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan serta integriti projek tersebut.
Ringkasan AI
- KPKT menyerahkan dokumen berkaitan Projek MyKiosk kepada SPRM sebagai komitmen terhadap ketelusan dan integriti, berikutan dakwaan berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan projek.
- Dokumen diserahkan secara sukarela oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, meskipun belum ada permintaan rasmi daripada SPRM, bagi memastikan tiada elemen salah guna kuasa dalam program yang bertujuan membantu penjaja kecil.
- Sebanyak 795 kontraktor telah dilantik melalui sebut harga terbuka, dengan kos siling bagi MyKiosk 2.0 ditetapkan pada RM25,000, bagi memastikan persaingan yang adil dan ketelusan dalam pelaksanaan projek.
"Ini membuktikan komitmen tinggi kementerian dalam memperkukuhkan sistem pengurusan dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.
"KPKT juga ingin memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan terlibat dalam pelaksanaan program MyKiosk yang bertujuan untuk memanfaatkan penjaja kecil," menurut kenyataan itu.
Menurut KPKT, pihaknya sentiasa komited memastikan semua inisiatif dan program kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti.
Menurut keyataan itu, dengan menyerahkan dokumen tersebut kepada SPRM kementerian berharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa setiap urusan dan pelaksanaan program telus dan mengikut prosedur yang betul.
KPKT turut memaklumkan semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka.
Menurut kenyataan itu, hasil daripada proses tender tersebut 795 kontraktor telah dilantik oleh PBT di seluruh negara.
"Kos siling bagi MyKiosk 2.0 adalah RM25,000. Harga bagi setiap unit kiosk adalah munasabah dan membolehkan kontraktor bersaing secara adil melalui proses sebut harga yang telus dan terbuka di peringkat PBT masing-masing.
"Kesemua peruntukan berkaitan MyKiosk telah disenaraikan dalam Inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami