IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyiasat dakwaan penggunaan air daripada pili bomba bagi membekalkan sumber air di sebuah kawasan di Rantau Panjang, Kelantan yang mengalami masalah bekalan air bersih.

Menterinya Nga Kor Ming berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya dengan sengaja mengambil air daripada pili bomba kerana fungsi utamanya adalah bagi membantu pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api dalam insiden kebakaran.

“Kita akan siasat perkara ini sama ada ia benar-benar berlaku (atau sebaliknya). Dan sebarang tindakan kita akan ambil mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Larian Bersama Bomba Malaysia Madani di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya, dekat sini, malam tadi.

Program yang dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia itu disertai 3,500 peserta dalam kalangan anggota bomba dan orang awam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat  (JBPM) Pusat, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin serta Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman.

Pada masa sama, Kor Ming turut menyifatkan tindakan menyalahgunakan pili bomba itu sebagai kurang sesuai dan tidak bertanggungjawab selain meminta untuk mana-mana wakil rakyat menunjukkan contoh terbaik kepada rakyat.

Malah beliau menggesa dan berharap agar Kerajaan Kelantan dapat menyelesaikan isu bekalan air bersih di negeri itu segera.

“Ini sepatutnya tidak berlaku kerana kegunaan pili bomba adalah untuk tujuan kecemasan. Jika semua orang gunakan air daripada pili bomba (untuk kegunaan sendiri), dan pada masa sama kalau berlaku situasi kebakaran macam mana?

“Oleh sebab itu saya harap semua pemimpin masyarakat dan ahli parlimen untuk menunjukkan contoh baik, yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

“Jangan cuba untuk mengambil air daripada pili bomba kerana saya berpandangan tindakan itu kurang sesuai dan kurang bertanggungjawab,” ujarnya lagi.

Kor Ming sebelum itu diminta mengulas berkenaan tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Zailah Mohd Yusuff yang didakwa menghantar bekalan air di kawasan yang terjejas dengan menggunakan air daripada pili bomba.

Berdasarkan laporan berita daripada portal Harakahdaily, Zailah dilaporkan berkata pihaknya menyediakan lori tangki yang mana sumber airnya diambil daripada pili bomba sebelum dihantar ke kampung yang mengalami masalah bekalan air bersih.

Dalam laporan bertarikh 20 April itu, Zailah berkata perkara itu dilakukan sebagai memenuhi keperluan bekalan air untuk penduduk menyambut untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kawasanya.