MALAYSIA

'KPKT tidak terlibat secara langsung pencalonan Kampung Baru Cina jadi tapak warisan UNESCO'

Bernama 21/01/2026 | 06:15 MYT
Kor Ming berkata inisiatif berkenaan merupakan usaha ICOMOS Malaysia, yang berperanan dalam pemeliharaan dan perlindungan tempat warisan budaya di seluruh negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak terlibat secara langsung dalam proses pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Ringkasan AI
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak terlibat secara langsung dalam pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia UNESCO; usaha dipimpin oleh ICOMOS Malaysia.
  • Kerajaan menyokong usaha pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO selagi melibatkan kampung lain; pengiktirafan ini boleh tingkatkan pelancongan dan ekonomi setempat.
  • KPKT komited memperkuatkan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum; peruntukan RM87 juta untuk naik taraf kemudahan asas dan sosial Kampung Baru Cina dan perkampungan India.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata inisiatif berkenaan merupakan usaha murni sebuah badan profesional International Council on Monuments and Sites (ICOMOS) Malaysia, yang berperanan dalam pemeliharaan dan perlindungan tempat warisan budaya di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan menyokong penuh usaha itu selagi pencalonan dibuat secara inklusif melibatkan mana-mana kampung termasuk Kampung Melayu, Kampung Cina dan Kampung India.

"Hal ini kerana jika mana-mana kampung kita diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO, sudah tentu perkara ini menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang ingin tahu berkaitan pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat bertarikh 27 Jan.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata pengiktirafan pada peringkat global terhadap budaya dan sejarah tanah air berpotensi meningkatkan daya tarikan pelancongan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat, khususnya bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam hal ini, beliau berkata KPKT sedia bertindak sebagai penghubung kepada pertubuhan profesional dengan pemimpin tempatan yang berkaitan.

Sementara itu, Kor Ming berkata KPKT komited dan cakna memastikan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum bukan sahaja dibela, malah terus diperkukuh melalui peruntukan yang disediakan oleh kerajaan.

Sebagai contoh, beliau berkata KPKT telah mengorak langkah lebih jauh dengan turut menyediakan peruntukan sejumlah RM15 juta untuk pembangunan perkampungan kaum India bermula pada tahun lepas.

Melalui Belanjawan MADANI keempat yang diluluskan kerajaan, Kor Ming berkata KPKT akan terus menaik taraf kemudahan asas dan sosial Kampung Baru Cina dan perkampungan India melibatkan peruntukan RM87 juta.

Beliau berkata antara program berimpak tinggi yang telah dilaksanakan ialah Pertandingan Kampung Good, bertujuan mengenal pasti produk Kampung Baru yang berpotensi untuk dikomersialkan.

"Hal ini membuktikan komitmen berterusan KPKT dalam memastikan tumpuan sama rata kepada semua kaum yang secara tidak langsung menjadi wadah penyatuan dan usaha merapatkan jurang sosioekonomi rakyat pelbagai latar belakang," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) tentang kaedah kerajaan menilai peruntukan pembangunan bagi Kampung Baru Cina benar-benar menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional, bukannya memperluas jurang antara komuniti.

-- BERNAMA



#Nga Kor Ming #Kampung Baru Cina #tapak warisan Unesco #KPKT