MALAYSIA
KPM akan bentang pindaan akta wajibkan pendidikan menengah bulan depan
Fadhlina bercakap pada Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) di sini, hari ini. - Foto Bernama
LANGKAWI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membentangkan pindaan bagi Akta Pendidikan 1996 pada sesi Parlimen bulan depan, bagi mewajibkan semua golongan muda mendapat pendidikan sehingga umur 17 tahun dalam mengatasi masalah keciciran pelajar.
Ringkasan AI
- KPM akan membentangkan pindaan Akta Pendidikan 1996 pada Parlimen Julai ini bagi mewajibkan pendidikan sehingga umur 17 tahun, sebagai usaha atasi keciciran pelajar sekolah menengah.
- Kementerian turut merancang perluasan dasar wajib prasekolah, namun menekankan keperluan infrastruktur dan guru kompeten sebelum pelaksanaan agar pendidikan awal benar-benar berkesan.
- Inisiatif ini dibentangkan sempena Persidangan Meja Bulat Menteri ASEAN 2025, sebagai sebahagian daripada usaha serantau menangani cabaran pelajar tercicir (OOSCY), dengan kerjasama badan antarabangsa seperti UNESCO dan UNICEF.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penguatkuatkuasaan undang-undang itu, merupakan antara langkah bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat hak untuk pendidikan berkualiti sehingga tamat sekolah menengah.
"Mudah-mudahan kita sempat untuk bentangkan pindaan untuk Dasar Pendidikan wajib sekolah menengah dulu.
"Sekiranya selesai dasar untuk sekolah menengah, pasukan kita sedang melihat untuk kepentingan dasar pendidikan wajib prasekolah," katanya pada sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) di sini, hari ini.
Sesi Parlimen seterusnya dijadualkan bermula 21 Julai hingga 28 Ogos ini.
Menurut Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib, setiap ibu bapa warganegara yang menetap di Malaysia, harus memastikan anak mereka mendapat pendidikan wajib selama enam tahun, iaitu pendidikan sekolah rendah.
Fadhlina berkata reformasi pendidikan melibatkan peluasan prasekolah, bagaimanapun terdapat beberapa cabaran antaranya mewujudkan infrastruktur, logistik dan kapasiti guru yang kompeten.
Beliau berkata guru yang kompeten dan terlatih, penting bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendedahan awal dan asas yang kukuh di peringkat prasekolah, sebelum memulakan pendidikan secara formal di peringkat arus perdana, sekali gus mengurangkan masalah keciciran akibat tidak mampu mengikuti pelajaran.
"Jadi, sebelum kita melaksanakan dasar untuk mewajibkan prasekolah, kita harus sediakan ekosistem, prasarana dan guru terlebih dahulu. KPM melihatnya sebagai perkara signifikan untuk dicapai dalam masa akan datang," katanya.
Terdahulu, Fadhlina menyampaikan ucapan alu-aluan pada persidangan meja bulat itu yang bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang pendidikan, diikuti mesyuarat tertutup menteri-menteri pendidikan ASEAN.
Persidangan itu bermula semalam dengan forum bertemakan Accelerating Innovative Strategies: Mitigating Out-of-School Children and Youth (OOSCY) Challenges, bertujuan mengukuhkan usaha kolektif melalui perkongsian maklumat berkaitan kumpulan yang tidak mendapat akses pendidikan dan berisiko tercicir, serta isu-isu lain berkaitan keciciran.
Selain anggota ASEAN dan Timor Leste sebagai pemerhati, Forum Pendidikan ASEAN turut disertai wakil organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) dan Pertubuhan Dunia Islam bagi Penyelidikan, Sains dan Kebudayaan (ICESCO).
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas menyandang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA