KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan merujuk dan mengkaji semula proses pembinaan sekolah baharu bagi mengelakkan tempoh masa pembinaan yang lama.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, kementerian sedar terdapat pembinaan sekolah yang memakan masa antara lima hingga 10 tahun untuk disiapkan.

"Berkenaan garis panduan dari segi infrastruktur dan selainnya, pada masa ini kami belum lagi memulakan kajian tetapi kami akan mengkaji semula seperti yang saya katakan tadi kita nak kurangkan masa pembinaan dan memastikan ada keperluan masa pembinaan (disingkatkan).

"Sebab satu masalah kita ialah penyerahaan tanah kerana tanah itu mesti di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemilikan tanah itu adalah usul utama sebelum pembinaan sesebuah sekolah. Kami akan rujuk semula semua garis panduan," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Hui Ying (PH-Tanjong) berkata demikian menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) dan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun).

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam usaha merancang pembinaan sekolah baharu, KPM mendapatkan input dan cadangan pembinaan sekolah melalui permohonan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Selain daripada kesediaan tapak atau tanah, katanya, perkara lain yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk serta perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama PBT.

Mengenai projek pembinaan SK Ukay Sungai Sering di kawasan Bukit Antarabangsa pula, Hui Ying berkata, projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) itu tidak dapat disambung semula dalam tempoh RMK-11 dan RMK-12 disebabkan pertukaran tapak.

Jelas beliau, tapak asal projek berkenaan berada di kawasan cerun berskala tiga yang memerlukan tambahan kos penahan cerun dan tidak sesuai untuk pembinaan sekolah.

"Oleh yang demikian, pada 2018, KPM telah mengenal pasti cadangan tapak baharu bagi pembinaan sekolah ini. Tapak baharu yang merupakan tanah serahan pemaju ini telah diluluskan permohonan pemberi milikan tapak kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan kini dalam proses untuk mendapatkan geran.

"Buat masa ini, status pembinaan projek ini masih berada di fasa pra pembinaan dan dalam peringkat akhir untuk melantik pihak perunding bagi menyediakan pelan rekabentuk bangunan dan menyelesaikan permohonan Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) dengan PBT," katanya.

Ujarnya lagi, proses pelantikan perunding dijangka selesai pada bulan ini, dengan tender akan dilakukan pada Disember depan.

Manakala, kerja-kerja awal tapak dijangka pada Februari 2024 dengan tempoh pembinaan mengambil masa selama 24 bulan, dan dijangka siap pada Februari 2026.