KPM akan perkukuh program agrotek di kolej vokasional - Fadhlina

Bernama
Oktober 7, 2023 11:29 MYT
Fadhlina (dua, kiri) melawat reruai pameran selepas merasmikan Karnival Agrotek MADANI @ KVKPM 2023 di Kolej Vokasional Pasir Puteh Gong Chokoh hari ini. Turut sama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Pkharuddin Ghazali (tiga, kiri). -Bernama
PASIR PUTEH: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkukuh program agrotek di kolej vokasional seluruh negara dalam usaha menjadikan sektor itu sebagai sumber ekonomi negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata program-program pertanian dengan pelbagai rakan strategik yang dilaksanakan ketika ini juga sangat signifikan ke arah keterjaminan makanan.
"Program Karnival Agrotek Madani @ KVKPM yang julung kali diadakan merangkumi pelbagai aspek pertanian adalah inisiatif awal KPM dalam memperkukuh bidang pertanian.
"Ia juga satu pendekatan untuk tingkatkan keupayaan pelajar dalam menguasai kemahiran dan teknologi berkaitan pertanian yang sekali gus menghasilkan kepakaran dalam sektor ini dan kita melihat perkara ini boleh diperluas ke seluruh kolej vokasional," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani @ KVKPM 2023 di Kolej Vokasional Pasir Puteh di sini hari ini.
Program Agrotek MADANI@Kolej Vokasional KPM diadakan bagi mempromosikan penggunaan teknologi moden seperti Internet benda (IoT) dalam bidang pertanian selain menyemai minat dalam bidang agrotek dalam kalangan generasi muda.
Inisiatif itu juga bagi menyahut aspirasi untuk memenuhi keperluan industri asas tani dan keterjaminan makanan negara berdasar kepada Dasar Agromakanan Negara 2.0 2021-2030.
-- BERNAMA
#Fadhlina Sidek #Kementerian Pendidikan #program agrotek #kolej vokasional