NATIONAL
KPM beri jamin siasatan telus kes pelajar SSTMI lemas

Fadhlina mendengar penerangan daripada Muhammad Rayyan Rafiqi ketika sesi lawatan ke reruai pameran pada Majlis Pelancaran Gerakan MASSA: #terimaksihcikgu Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 hari ini. - Foto Bernama
TAIPING: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan siasatan secara telus dilakukan susulan seorang pelajar lelaki Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor yang meninggal dunia akibat lemas pada November tahun lepas.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan siasatan telus dilakukan terhadap kes kematian pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) akibat lemas, dengan siasatan dalaman dan oleh pihak berkuasa.
- KPM memberi keutamaan kepada kebajikan mangsa, termasuk tuntutan insurans dan sokongan kepada keluarga mangsa.
- Keluarga mangsa mendakwa terdapat unsur kecuaian dalam kematian pelajar tersebut, yang merupakan atlet bola sepak bawah 16 tahun di sekolah sukan berkenaan.
"Ini adalah satu insiden yang saya fikir kita ambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan siasatan telus dan kita telah menyerahkan kes ini kepada pihak autoriti untuk siasatan lanjut.
"Saya memberi jaminan kepada keluarga (mangsa) dan sesiapa sahaja yang terkesan dengan insiden ini disiasat dengan penuh integriti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Gerakan Massa #terimakasihcikgu Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata hal-hal berkaitan kebajikan mangsa seperti tuntutan insurans turut diberi keutamaan kerana ia adalah tanggungjawab di bawah KPM.
"Di samping itu, kita memberi sokongan kepada keluarga mangsa bagi memastikan ia benar-benar dijaga dan diambil perhatian sepenuhnya," katanya.
Pada 6 April lepas, keluarga Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful yang meninggal dunia akibat lemas mendakwa terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian pelajar itu.
Allahyarham Muhammad Zulfan, 16, adalah pelajar tingkatan empat dan atlet bola sepak bawah 16 tahun di sekolah sukan berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami