NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan takwim persekolahan dikembalikan semula kepada bulan Januari seperti sebelum ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini perbincangan ke arah itu sedang dilakukan dan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat justifikasi-justifikasi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu mengikut Akta Pendidikan 1996.

Beliau berkata, KPM menerima banyak permintaan daripada ibu bapa yang mahu sesi persekolahan dikembalikan seperti dahulu.

Bagaimanapun, jelas Fadhlina, buat masa ini, kementerian terikat dengan Akta Pendidikan 1996 yang memerlukan sesi persekolahan selama 190 hari setahun.

"Antara perkara penting yang kita lihat pertamanya jumlah hari bersekolah kanak kanak ini tidak boleh kurang dari 190 hari, jadi kita mengambil kira tempoh persekolahan itu sebagaimana akta pendidikan 1996.

“Kita juga kena mengambil kira beberapa perkara seperti peperiksaan yang sedang dihadapi anak- anak dan juga kebajikan guru murid serta kesan ekonomi negara.

"Kita ambil keputusan untuk habiskan kitaran ini semua sebelum kita pergi ke kalendar akademik yang baharu Januari… kita akan Kembali, kita ambil masa sedikit," kata Fadhlina kepada pemberita selepas sesi bertemu rakyat di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal, di sini, pada Sabtu.

Tambah Fadhlina, perubahan semula takwim persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malayisa (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malayisa (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sesi persekolahan negara berubah selepas pandemik COVID-19 melanda dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila takwim persekolahan bagi 2022/2023 bermula pada Mac 2022.

Sementara takwim bagi sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 10 dan 11 Mac tahun hadapan mengikut negeri.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal meluangkan masa lebih tiga jam bagi mendengar permasalahan rakyat di kawasannya membabitkan pelbagai isu untuk perhatian dan tindakannya