KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat pertama kalinya membuka permohonan bagi pelantikan pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kepada orang awam.

Menurut hantaran KPM di Facebook rasminya hari ini, permohonan dibuka dari 12 Sept hingga 31 Okt ini dan orang ramai boleh mengemukakan borang permohonan kepada Pengarah Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melalui pautan https://bit.ly/44KmnxL.


"Pemohon yang berjaya dan disenarai pendek sebagai calon sukarelawan akan dipanggil untuk sesi temu duga di Pejabat Pendidikan Daerah yang berdekatan," menurut hantaran itu.

Menurut KPM, inisiatif itu merupakan satu daripada tujuh langkah kementerian berkenaan dalam mengatasi beban tugas guru yang diumumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 17 Feb lepas.

Antara syarat yang ditetapkan adalah warganegara Malaysia yang berumur 18 hingga 65 tahun; mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan SPM atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; bebas daripada sebarang rekod jenayah dan tindakan mahkamah, di samping mempunyai pengangkutan sendiri.

Menurut hantaran itu, lima kategori pemohon ditetapkan KPM iaitu Kategori 1 yang terdiri daripada pesara kerajaan di bawah skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan; Kategori 2 (pelajar institut pengajian tinggi awam, institut pengajian tinggi swasta, Institut Pendidikan Guru, lepasan asasi atau matrikulasi).

Kategori 3 ialah guru Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri, sekolah swasta, Maktab Rendah Sains Mara; Kategori 4 (anggota kumpulan pelaksana atau pekerja kontrak kerajaan) dan Kategori 5 (kakitangan bukan kerajaan atau pesara kerajaan dan swasta).

KPM turut memaklumkan, orang ramai boleh menghubungi JPN masing-masing atau emel kepada Lembaga Peperiksaan di [email protected] untuk pertanyaan lanjut.

-- BERNAMA