Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

KPM disyor lantik bekas tentera dan polis sebagai warden tangani isu buli di sekolah berasrama

Khalis Khadir 27/08/2025 | 12:00 MYT
Antara beberapa syor lain termasuk mewajibkan pemasangan kotak aduan buli di sekolah berasrama selain pihak sekolah perlu menyediakan pilihan untuk kanak-kanak membuat aduan secara anonim bagi menjamin kerahsiaan pengadu. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) disyorkan supaya melantik bekas tentera dan polis sebagai warden di sekolah berasrama bawah kendaliannya dan bukannya melantik guru untuk memikul tanggungjawab itu.

Menerusi syor itu, pelantikan tertakluk kepada saringan ketat di bawah Seksyen 118 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), dengan bekas tentera dan polis dilantik perlu menjalani kursus dan latihan perlindungan kanak-kanak yang bersesuaian.

Perkara itu antara 17 syor dikemukakan melalui Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat yang disiarkan di laman web Parlimen pada Selasa.

Penyata itu menjelaskan, calon warden dalam kalangan bekas tentera dan polis itu perlu menjalani ujian psikologi TAJMA atau Penaksiran Psikologi Personaliti bagi memastikan kesesuaian bekerja dengan kanak-kanak.

Pengerusi JKPK Parlimen Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin pada Rabu membentangkan laporan penyata berkenaan termasuk menggesa KPM mewujudkan satu talian aduan buli khas dengan ciri-ciri mesra kanak-kanak.

Antara beberapa syor lain termasuk mewajibkan pemasangan kotak aduan buli di sekolah berasrama selain pihak sekolah perlu menyediakan pilihan untuk kanak-kanak membuat aduan secara anonim bagi menjamin kerahsiaan pengadu.


#KPM #sekolah berasrama #warden #bekas tentera