SIBU: Usaha bagi menangani segera isu sekolah-sekolah daif berskala tujuh yang masih banyak di Sarawak merupakan antara fokus Kementerian Pendidikan (KPM) tahun depan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Beliau berkata sekolah-sekolah daif berskala tujuh adalah melibatkan bangunan sekolah yang perlu dirobohkan dan dibina semula, malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada tahun ini juga ada membangkitkan isu sekolah daif di Sarawak.

" ..banyak sekolah daif di Sarawak statusnya berskala tujuh. Kalau skala tujuh (maknanya) sekolah itu mesti dirobohkan dan dibina semula, ini adalah satu daripada hasrat Perdana Menteri, dan KPM sedang mempercepatkan proses ini," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke SMK Saint Elizabeth di sini pada Selasa.

KPM telah melaksanakan penetapan projek pembangunan semula atau menaik taraf bangunan sekolah yang daif berdasarkan analisis skor gred impak dari Skala Satu hingga Skala Tujuh bagi menentukan tahap keadaan komponen fizikal atau fasiliti bangunan di sekolah.

Skala Satu hingga Skala Empat merujuk kepada keadaan bangunan yang masih berfungsi dan selamat digunakan, manakala skala lima adalah bangunan yang dilaporkan oleh pihak sekolah sebagai tidak selamat dan memerlukan penyelenggaraan.

Sekolah berskala enam pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri, manakala skala tujuh merujuk kepada bangunan tidak selamat dengan pengesahan syor roboh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Lim yang dalam rangka lawatan kerja selama 10 hari ke Sarawak dan berakhir hari ini berkata beliau telah melawat 17 buah sekolah berstatus bantuan kerajaan di Miri, Bintulu, Kuching, Sarikei dan Sibu, selain mengagihkan peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM2.34 juta kepada 23 sekolah.

Selain memberi tumpuan kepada sekolah daif berskala tujuh di negeri ini, beliau berkata kementerian juga berusaha menangani isu keciciran pelajar-pelajar di kawasan pedalaman Sarawak dan akan mengkaji jalan penyelesaian.

Turut hadir dalam lawatan beliau ke SMK St Elizabeth ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng dan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling.

-- BERNAMA