MALAYSIA

KPM jumpa wakil sekolah antarabangsa, Dong Zong bincang subjek BM, Sejarah

Asyraf Malik 30/01/2026 | 10:33 MYT
Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara berkenaan dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Wakil pelbagai aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menyambut baik arahan kerajaan mewajibkan pelajar mereka mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara berkenaan dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

"Fadhlina memaklumkan pertemuan terbabit berjalan dengan sangat baik, ada penyelarasan dicapai tentang apa yang kerajaan berhasrat untuk laksana. Ia diterima baik oleh semua pihak yang hadir," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kementerian Komunikasi, di sini pada Jumaat.

Seterusnya, pada minggu depan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) termasuk Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan mengadakan pertemuan susulan bagi meneliti aspek laluan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

"Jadi ini selepas kedua-dua KPM dan KPT mengadakan perbincangan ini, Insya-Allah pihak KPM dan KPT akan mengeluarkan kenyataan susulan.

"Maklum balas terkini yang diberi kepada Jemaah Menteri menunjukkan beberapa tindakan sedang diambil," katanya.

Sebelum ini, Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 menetapkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah dalam aliran UEC, diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.


#Bahasa Melayu #sejarah #KPM #Dong Zong #Sijil Pelajaran Malaysia #isu UEC