MALAYSIA

KPM mansuh Sistem Pengurusan Latihan tahun hadapan - Fadhlina

Dewi Nur Harasha Alias 14/12/2025 | 04:16 MYT
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemansuhan itu adalah usaha kementerian dalam mengurangkan beban guru serta menjaga kebajikan guru. - Gambar fail/Astro AWANI
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan (SPL) pada tahun hadapan.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan (SPL) pada tahun hadapan bagi mengurangkan beban guru dan menjaga kebajikan mereka.
  • SPL KPM, portal dalam talian untuk latihan profesional guru, akan digantikan bagi memberikan tumpuan penuh kepada tugas hakiki dalam bilik darjah.
  • Setiap guru disasarkan mencapai lima hari berkursus dan mengumpul 42 mata kredit setiap tahun melalui platform latihan baru yang akan diperkenalkan.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemansuhan itu adalah usaha kementerian dalam mengurangkan beban guru serta menjaga kebajikan guru.

Fadhlina berkata pihak kementerian telah melakukan banyak intervensi dan melihat kekurangan yang ada serta bagaimana beban tugas guru ini harus ditangani secara berterusan.

Jelasnya, SPL KPM sering menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam kalangan warga pendidik kerana dianggap boleh mengganggu fokus mereka terhadap tugas hakiki di dalam bilik darjah

"Kita melihat tahun hadapan kita mahu guru kita memberikan tumpuan yang secara penuh dalam kelas dan khususnya untuk memberikan tumpuan kepada isu-isu kurikulum baru dan juga pelan pembangunan baru.

"Jadi SPL KPM ini kita hapuskan dengan hasrat untuk terus memberikan keyakinan dan juga sebagai usaha konsisten untuk terus mengurangkan beban guru," katanya.

Fadhlina berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, Asrama dan Kemudahan Lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Seberang Perai Tengah di SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin, di sini pada Ahad.

SPL adalah portal dalam talian untuk guru dan pegawai KPM menguruskan maklumat latihan profesional, merekod Kredit Pembangunan Profesional (CPD), serta mengakses kursus dalam talian dan mendapatkan sijil digital.

Selain itu, ia turut berperanan sebagai pusat sehenti untuk pembelajaran kendiri dan pembangunan kerjaya dalam sektor pendidikan bagi menggantikan sistem lama seperti eSPLG/SPLG.

Setiap guru disasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya lima hari berkursus dan mengumpul 42 mata kredit setiap tahun melalui platform ini.










#Kementerian Pendidikan #Sistem Pengurusan Latihan #SPL #Fadhlina Sidek #dimansuh #terkini