PUTRAJAYA: Guru Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dipelawa menyertai program pembudayaan STEM, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata kementerian memperuntukkan RM100,000 untuk pelaksanaan program itu di 10 sekolah terpilih menerusi projek rintis.

"Saya bagi masa dua minggu kepada guru-guru STEM untuk fikirkan apa aktiviti atau program yang sesuai untuk membudayakan pendidikan ini.

"Sampaikan kepada guru kita untuk pastikan mereka menyertai program ini agar pembudayaan STEM akan diterajui guru tempatan, sekali gus memberi impak kepada perjalanan STEM negara," katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.

Beliau berkata surat tawaran bagi menyertai program itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat dan guru yang berminat boleh menghantar permohonan kepada kementerian.

KPM katanya akan memilih sekolah berdasarkan pendapat mereka mengenai usaha mewujudkan ekosistem pembudayaan STEM di sekolah masing-masing.

Selain itu, beliau memaklumkan KPM akan mengadakan Jerayawara Jelajah Pendidikan bermula di Zon Tengah pada 27 Feb ini sebelum disusuli zon lain.

Jerayawara itu, yang dijangka berlangsung hingga Julai ini, bertujuan mendapatkan pandangan berhubung pelan pembangunan pendidikan berkaitan kurikulum persekolahan baharu 2027.

-- BERNAMA