Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

KPM perketat kesiapsiagaan banjir, keselamatan calon SPM diutamakan - Fadhlina

Bernama 23/11/2025 | 15:00 MYT
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tapang hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan memberi tumpuan penuh kepada persiapan dan kesiapsiagaan menghadapi banjir susulan cuaca tidak menentu dalam tempoh dua hingga tiga hari ini, terutama melibatkan kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Ringkasan AI
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan banjir untuk memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa halangan, termasuk pemindahan awal pelajar ke asrama.
  • OPS Payung diaktifkan dengan kerjasama agensi keselamatan, dan calon SPM yang terkepung akan dibantu menggunakan aset agensi terlibat.
  • Sekolah terjejas melaksanakan PdPR agar tidak mengganggu operasi PPS serta perjalanan peperiksaan, sambil memastikan keselamatan murid terus dipantau.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata keutamaan kini ialah memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa halangan, selain menguruskan keselamatan pelajar di kawasan berisiko banjir.

"Saya sempat melawat empat buah sekolah hari ini dan melihat sendiri proses pemindahan pelajar ke asrama sebagai langkah awal keselamatan," katanya.

Beliau berkata OPS Payung turut diaktifkan sebagai langkah kesiapsiagaan melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jawatankuasa Keselamatan, Majlis Keselamatan Negara, PDRM, Bomba, APM dan lain-lain.

"OPS Payung merupakan amalan biasa setiap kali banjir, dan ia memastikan keselamatan murid dapat dipantau dengan ketat, terutama calon SPM," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Tapang, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata sebahagian besar calon SPM di kawasan berisiko sudah ditempatkan di asrama, namun kementerian turut bersedia memindahkan calon yang terkepung atau terhalang untuk ke pusat peperiksaan menggunakan aset agensi keselamatan terlibat.

"Alhamdulillah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan mempunyai pengalaman yang luas dan menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang baik. Semua persiapan dibuat dengan kemas dan kita berdoa agar urusan anak-anak SPM dipermudah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sesi persekolahan bagi murid yang tidak terlibat dengan SPM, beliau berkata PdPR akan dilaksanakan di sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir, supaya tidak mengganggu operasi PPS dan tidak mengganggu perjalanan peperiksaan.

"Tiada masalah soal pakaian seragam. Yang penting mereka berpakaian kemas dan hadir ke sekolah atau mengikuti PdPR seperti biasa," katanya.

Fadhlina turut menzahirkan kebimbangan mengenai murid yang tidak tinggal di asrama, namun menjelaskan semua agensi terlibat telah bersedia dengan prosedur, sekiranya ada calon terkepung atau terhalang ke pusat peperiksaan.

"Melalui taklimat yang kita terima, semua agensi tahu bagaimana mengurus situasi ini berdasarkan pengalaman lepas. Kita harap cuaca bertambah baik dan peperiksaan dapat berjalan lancar," katanya.

-- BERNAMA




#Kementerian Pendidikan KPM #calon SPM #kesiapsiagaan banjir #Fadhlina Sidek