KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkukuh usaha meningkatkan penguasaan Matematik murid menerusi pelbagai langkah intervensi termasuk pelaksanaan Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia 2026, susulan dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu turut merangkumi pengesanan jurang pembelajaran seawal Tahun Satu dan penambahbaikan padanan guru mengikut opsyen bagi memastikan keperluan pembelajaran murid dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, analisis pencapaian PISA menunjukkan cabaran utama murid dalam Matematik bukan sekadar melibatkan kemahiran mengira atau menghafal formula, tetapi juga keupayaan memahami konsep, membuat penaakulan dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi baharu.
“Kita tidak menafikan bahawa masih terdapat kelemahan yang perlu ditangani dan mengakui bahawa aspirasi untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas negara dalam pentaksiran antarabangsa seperti PISA yang disasarkan menerusi PPPM (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025) masih belum tercapai,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Selasa.
Wong berkata demikian menjawab usul dikemukakan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung isu dan permasalahan kegagalan sasaran PISA dalam PPPM 2013-2025 serta kemerosotan Matematik dalam PISA.
Wee melahirkan kebimbangan mengenai kemerosotan pencapaian Matematik murid Malaysia yang menyaksikan hanya 0.6 peratus murid mencapai tahap cemerlang berbanding purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebanyak lapan peratus.
Beliau turut membandingkan kaedah penentuan gred peperiksaan tempatan dengan standard antarabangsa seperti International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) di United Kingdom yang menggunakan julat markah tetap bagi penentuan gred.
Wong berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan skor bagi domain Sains dan bacaan dalam PISA berbanding penilaian 2022, masing-masing kepada 419 mata dan 393 mata.
Bagaimanapun, beliau berkata, skor Matematik menurun kepada 397 mata berbanding 409 mata pada 2022 dan 440 mata pada 2018, sekali gus merupakan pencapaian Matematik terendah sejak menyertai PISA.
Mengulas dakwaan bahawa kaedah penentuan gred Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyembunyikan kemerosotan penguasaan murid, Wong menegaskan, tanggapan itu tidak tepat kerana SPM dan PISA mempunyai tujuan serta kaedah pentaksiran berbeza.
“Saya mahu tegaskan bahawa kenyataan kaedah penggredan SPM menyebabkan kemerosotan penguasaan murid tersembunyi adalah tidak tepat. Penentuan gred melibatkan proses penetapan standard ataupun standard fixing bagi memastikan keputusan peperiksaan yang adil dan boleh dibandingkan,” katanya.
-- BERNAMA