Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

KPM pertimbang tubuh Kolej Tingkatan Enam di Keningau - Fadhlina

Bernama 20/11/2025 | 04:45 MYT
Fadhlina berkata langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperluas peluang pembelajaran pascamenengah kepada pelajar luar bandar. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti potensi menjadikan Keningau sebagai hab pendidikan termasuk mempertimbangkan penubuhan sebuah Kolej Tingkatan Enam di daerah itu.


Ringkasan AI
  • KPM sedang meneliti potensi menjadikan Keningau sebagai hab pendidikan dengan mempertimbangkan penubuhan Kolej Tingkatan Enam di daerah tersebut bagi memperluas peluang pembelajaran pascamenengah kepada pelajar luar bandar.
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan KPM komited memastikan setiap murid, termasuk komuniti Orang Asli, menerima pendidikan berkualiti melalui pendekatan inovatif seperti program Sekolah Terapung Tasik Banding yang memanfaatkan rumah rakit sebagai ruang pembelajaran mudah alih.
  • Program pendidikan kreatif dan inovatif ini, yang melibatkan 48 murid Orang Asli berumur enam hingga 16 tahun dari empat kampung sekitar Tasik Banding serta Tasik Temenggor, diharapkan dapat diperluas ke kawasan pedalaman lain sekiranya terdapat keperluan dan kesesuaian geografi.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperluas peluang pembelajaran pascamenengah kepada pelajar luar bandar.

"Kita juga sedang melihat hala tuju pendidikan Sabah dengan meneliti potensi Keningau sebagai hab pendidikan dan mempertimbangkan penubuhan Kolej Tingkatan Enam di Keningau... ini adalah kerana Keningau ini berada dalam sebuah hab pendidikan yang sangat baik.

"Ada Kolej Vokasional, ada Institut Pendidikan Guru dan kita sedang melihat bagaimana kita boleh angkat Kolej Tingkatan Enam untuk berada di bawah satu lagi inisiatif KPM, khususnya menjadikan Keningau sebagai hab pendidikan yang berpotensi besar di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kesavan Subramaniam (PH-Sungai Siput) pada Waktu Pertanyaaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini mengenai perancangan mengukuhkan akses pendidikan di pedalaman Sabah.

Menjawab soalan asal Kesavan mengenai usaha memperkukuh akses pendidikan di kawasan pedalaman, Fadhlina berkata KPM komited memastikan setiap murid, termasuk komuniti Orang Asli, menerima pendidikan berkualiti melalui pendekatan inovatif dan berasaskan konteks setempat.

"Selaras dengan aspirasi ini, program Sekolah Terapung Tasik Banding telah diperkenal sebagai inisiatif inovatif di bawah Program Khas Pendidikan Manusiawi (ProKhas) bagi murid yang berdepan cabaran jarak, demografi, rintangan pengangkutan dan ketiadaan kemudahan asas untuk ke sekolah.

"Semua ini adalah berpaksikan kepada Rukun MADANI iaitu prinsip ihsan dan daya cipta," katanya.

Program itu, yang bermula 13 Okt lepas, menggunakan rumah rakit sebagai ruang pembelajaran mudah alih dan memanfaatkan 48 murid Orang Asli berumur enam hingga 16 tahun dari empat kampung sekitar Tasik Banding serta Tasik Temenggor.

Fadhlina juga berkata KPM melihat program itu sebagai model pendidikan kreatif dan inovatif berasaskan keperluan setempat serta berpotensi dikembangkan ke kawasan pedalaman lain sekiranya terdapat keperluan, kesediaan komuniti dan kesesuaian geografi.

-- BERNAMA








#Kementerian Pendidikan #Fadhlina Sidek #Keningau #Kolej Tingkatan enam #Dewan Rakyat