MALAYSIA

KPM rintis konsep 'AI-Powered Classroom' di 11 sekolah - Fadhlina

Faida Rahim 21/07/2025 | 07:15 MYT
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang merintis konsep 'AI-Powered Classroom' di 11 sekolah bagi menyediakan laluan pembelajaran yang adaptif.


Ringkasan AI
  • Konsep 'AI-Powered Classroom' sedang dirintis di 11 sekolah dan kurikulum baharu memperkenalkan asas AI di peringkat rendah serta aplikasi lanjut di peringkat menengah.
  • Pelan Pendidikan 20262035 fokus kepada teknologi & TVET, termasuk kursus AI di Kolej Vokasional seperti Computer Vision dan Generative AI bagi melahirkan graduan berdaya saing.
  • Garis Panduan Literasi AI dijangka siap September bagi memastikan penggunaan teknologi yang beretika dan selamat, selari dengan nilai pendidikan Malaysia MADANI.


Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek berkata, bagi meningkatkan kesediaan murid, kurikulum baharu turut memperkenalkan asas Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat sekolah rendah, manakala penerokaan lanjut aplikasi AI diteruskan di peringkat menengah.

"Kurikulum ini dirangka berasaskan kompetensi dengan penekanan terhadap komunikasi, kreativiti, pemikiran kritis, keusahawanan dan literasi digital," katanya.

Dalam masa sama, KPM merangka lima fokus utama iaitu kualiti, akses dan ekuiti, ketersediaan sumber dan kecekapan, keluwesan serta kemampanan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026 hingga 2035.

"Pelan itu memberi penekanan kepada penjajaran kurikulum dengan realiti pasaran, pembelajaran berasaskan teknologi seperti AI dan pemerkasaan ekosistem TVET," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang meminta menteri pendidikan menyatakan bagaimana PPPM akan diperkasa bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penerapan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan TVET.

Fadhlina berkata, selain itu, bermula tahun ini, dua kursus teras disiplin berteraskan AI ditawarkan dalam program Diploma Teknologi Perkomputeran dan Diploma Teknologi Maklumat di Kolej Vokasional (KV) iaitu 'Computer Vision In Computing Technology' dan 'Computer Vision In Information Technology'.

Katanya, satu kursus elektif baharu iaitu 'Generative Artificial Intelligence' juga kini ditawarkan kepada semua program diploma di KV.

Dalam pada itu, KPM dalam proses memuktamadkan Garis Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka siap September ini.

Fadlina berkata garis panduan itu adalah bagi memastikan penggunaan teknologi terbabit dilaksanakan secara beretika, selamat dan berpandukan nilai murni yang mana pihaknya sentiasa komited dan bersedia untuk menambah baik sistem pembelajaran berasaskan teknologi dan digital secara berterusan.



#Kementerian Pendidikan #TVET #AI #Fadlina Sidek #Dewan Rakyat #Parlimen