KUALA LUMPUR: Murid Orang Asli di negara ini tidak dipinggirkan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran ketika pandemik COVID-19.

Tegas Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, pihaknya telah menyediakan akses pembelajaran kepada murid Orang Asli melalui pendekatan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Jelasnya, PdPR melibatkan golongan murid Orang Asli dilaksanakan sama ada secara dalam talian atau luar talian mengikut kesesuaian guru dan murid.

"Sehingga 30 September 2021, penglibatan murid Orang Asli dalam PdPR secara dalam talian ialah seramai 296 orang manakala 14,570 murid mengikuti PdPR secara luar talian.

"KPM telah membangunkan Sistem Pelaporan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (SPdPR) bagi membolehkan penyertaan murid termasuk murid Orang Asli dipantau secara masa sebenar," katanya pada persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Isa Ab Hamid yang ingin tahu jumlah kehadiran PdPR secara dalam talian bagi murid Orang Asli dan bantuan yang disediakan bagi meningkatkan kebolehadiran dan kebolehcapaian jaringan internet.

Mohamad menjelaskan, KPM telah memberikan bantuan peranti digital lengkap dengan pelan data selama setahun di bawah inisiatif Tabung CERDIK kepada murid B40.

Katanya, berdasarkan data agihan, seramai 1,022 murid Orang Asli dari 13 buah sekolah di seluruh negara telah menerima peranti digital itu.

"Bantuan peranti digital serta pelan data yang diberikan ini dapat meningkatkan kebolehlaksanaan proses pembelajaran murid Orang Asli secara dalam talian di pedalaman," katanya.