MALAYSIA

KPM teliti aspek teknikal sebelum laksana pendidikan awal usia lima tahun - Fadhlina

Bernama 03/08/2025 | 11:24 MYT
Fadhlina berkata penelitian itu meliputi melihat keperluan sumber tenaga pengajar, prasarana serta kesediaan semua pihak terlibat. - Bernama
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) kini menumpukan kepada penelitian aspek teknikal dan operasi sebelum pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak bermula pada usia lima tahun seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan berjalan lancar dan memenuhi objektif memperkukuh asas pendidikan awal negara.

"Soal dasar sudah selesai, kini KPM meneliti lebih mendalam dari sudut teknikal dan operasi supaya pelaksanaannya nanti benar-benar memberi kesan positif.

"Kita ada tempoh lima tahun sepanjang RMK13 dan KPM juga akan mengadakan taklimat khas kepada pihak media untuk memberi penerangan menyeluruh mengenai langkah ini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Pelajar Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.

Fadhlina berkata penelitian itu meliputi melihat keperluan sumber tenaga pengajar, prasarana serta kesediaan semua pihak terlibat.

Ditanya kemungkinan berlaku perubahan usia kemasukan Tahun Satu kepada enam tahun atau pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 16 tahun, beliau berkata perkara itu akan diumumkan selepas perincian dibuat.

Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat berkata kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula usia lima tahun bagi memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan meningkatkan keberhasilan sistem pendidikan negara.

-- BERNAMA


#Kementerian Pendidikan #pendidikan awal #lima tahun #RMK13 #teknikal #pelaksanaan