KPN sahkan Interpol senarai merah menantu Muhyiddin, peguam

Astro Awani
Ogos 25, 2023 00:03 MYT
SPRM mendakwa mereka dikehendaki berhubung projek yang melibatkan pendaftaran dan penyimpanan maklumat biometrik untuk pekerja asing. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan dan seorang peguam Mansoor Saat sudah disenaraikan notis merah oleh Polis Antarabangsa atau Interpol.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata tindakan mengenakan notis merah itu dibuat selepas keduanya belum pulang bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM mendakwa mereka dikehendaki berhubung projek yang melibatkan pendaftaran dan penyimpanan maklumat biometrik untuk pekerja asing.
Kedua-duanya dipercayai melarikan diri dari negara pada Mei lalu.
Awal bulan ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima permohonan lisan daripada SPRM untuk mengenakan notis merah berkaitan kes melibatkan menantu kepada Muhyiddin.
Razarudin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan SPRM berhubung bantuan yang diperlukan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melihat sebarang bentuk bantuan yang diperlukan SPRM berhubung kes melibatkan menantu kepada bekas perdana menteri itu.
#Kementerian Dalam Negeri #Muhyiddin Yassin #Razarudin Husain #Polis Diraja Malaysia #Muhammad Adlan Berhan