MALAYSIA

KPN susun lima kluster MADANI pacu agenda Negara Bangsa 2026

Amzar Alif 20/01/2026 | 23:10 MYT
Aaron berkata, hala tuju itu selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI menerusi RMK-13 yang meletakkan pembinaan negara bangsa sebagai antara tonggak utama pembangunan negara. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperkenalkan lima kluster utama sebagai gerak kerja teras sepanjang 2026, bagi memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa dan penyatupaduan rakyat dalam masyarakat majmuk.


Ringkasan AI
  • Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan lima kluster utama sebagai gerak kerja teras sepanjang 2026, termasuk Tunas MADANI, Komuniti MADANI, Harmoni MADANI, Rakyat MADANI, dan Warisan MADANI bagi memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa dan penyatupaduan rakyat.
  • Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menjelaskan bahawa hala tuju ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 yang menitikberatkan pembinaan negara bangsa sebagai tonggak utama pembangunan negara.
  • Melalui kluster MADANI, KPN menitikberatkan pembentukan generasi muda patriotik, peranan institusi sosial di peringkat akar umbi, pemerkasaan kerukunan antara pelbagai komuniti, serta meraikan kepelbagaian seni, budaya, dan warisan untuk mengukuhkan perpaduan nasional.


Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, hala tuju itu selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang meletakkan pembinaan negara bangsa sebagai antara tonggak utama pembangunan negara.

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai program sepanjang tahun ini akan dipacu melalui lima kluster MADANI, iaitu Tunas MADANI, Komuniti MADANI, Harmoni MADANI, Rakyat MADANI dan Warisan MADANI.

“Yang paling penting bagi kita adalah amanat yang kita telah diberi dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) iaitu pembinaan negara bangsa dan kita telah berusaha untuk mengadakan beberapa libat urus menjurus kepada aktiviti kita untuk program-program,” katanya pada sidang media sempena Majlis Amanat KPN 2026 di Putrajaya pada Selasa.

Berdasarkan kerangka yang dibentangkan, Tunas MADANI memberi fokus kepada pembentukan generasi muda yang berjiwa patriotik serta berperanan sebagai ejen perubahan sosial yang harmoni.

Komuniti MADANI pula mengetengahkan peranan institusi sosial dan komuniti di peringkat akar umbi sebagai pemangkin penyatupaduan, termasuk pengukuhan jaringan kejiranan dan komuniti setempat.

Manakala menerusi Harmoni MADANI, KPN memberi penekanan terhadap pemerkasaan kerukunan antara pelbagai komuniti dan penganut agama, bagi memastikan kestabilan negara terus dipelihara dalam suasana saling menghormati.

Rakyat MADANI pula dilihat sebagai ruang meraikan kepelbagaian seni, budaya serta perayaan pelbagai kaum dan agama, sekali gus mengukuhkan rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam masa sama, Warisan MADANI berperanan memelihara dan memartabatkan khazanah budaya serta identiti negara agar akar sejarah terus diperkukuh untuk generasi akan datang.

Selain pendekatan berfasa melalui lima kluster itu, beliau memaklumkan KPN turut menyasarkan penerbitan satu dokumen rujukan penting bagi menyokong agenda pembinaan negara bangsa secara lebih tersusun.

“Kita berharap dengan pelibatan atau libat urus yang kita akan adakan bersama dengan workshop dan conference, kita berharap akan dapat mebangunkan satu blueprint,” katanya.

Dalam majlis amanat yang sama, KPN turut mengimbas pencapaian tahun 2025 termasuk pelaksanaan 762 program perpaduan di seluruh negara, selain pemerkasaan 301 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif dan pemasaran 529 produk ekonomi komuniti.

Hala tuju 2026 itu turut menekankan pendekatan yang lebih berpaksikan impak, dengan pelaksanaan program dan libat urus yang dijangka memberi kesan lebih menyeluruh kepada perpaduan nasional dan usaha pembinaan negara bangsa.





#KPN #perpaduan #Aaron Ago Dagang #RMK-13