MALAYSIA

KPN teliti cadangan angkat Baba Nyonya, Chetti sebagai ikon perpaduan negara

Bernama 24/01/2026 | 13:00 MYT
Aaron beramah mesra pemimpin KRT selepas menyampaikan Mock Cheque Program Satelit Komuniti Rakyat Madani Tahun 2026 di NADI Kampung Dato’ Ahmad Said Manjoi hari ini. - Gambar Bernama
IPOH: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan meneliti cadangan untuk mengangkat komuniti Baba Nyonya dan Chetti sebagai ikon perpaduan negara, kata menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang.


Ringkasan AI
  • Kementerian Perpaduan Negara akan meneliti cadangan mengangkat komuniti Baba Nyonya dan Chetti sebagai ikon perpaduan negara bagi mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
  • Cadangan tersebut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin dalam Sesi Perbahasan Titah Diraja baru-baru ini.
  • KPN juga bersedia mematuhi ketetapan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 berkaitan pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun demi menyelaraskan mutu pendidikan di seluruh negara.


Beliau berkata kementerian itu bersikap terbuka menerima mana-mana pencalonan yang berpotensi diangkat sebagai ikon perpaduan, termasuk komuniti warisan bagi mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kita akan meneliti perkara ini dan di kementerian juga telah ada banyak ikon perpaduan. Kalau ingat Pandelela Rinong di Sarawak juga merupakan ikon perpaduan nombor satu dan di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa, kita mempunyai bukan sahaja ikon malah ejen perpaduan.

"Kementerian juga terima banyak cadangan daripada orang ramai untuk mengangkat tokoh-tokoh kepimpinan negara sebagai ikon perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Program Satelit Komuniti Rakyat MADANI Tahun 2026 Peringkat Negeri Perak di Pusat Nadi Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di sini hari ini.

Cadangan mengangkat komuniti Baba Nyonya dan Chetti Melaka sebagai Ikon Perpaduan Negara dibangkitkan Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin ketika Sesi Perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Aaron berkata KPN bersedia untuk mematuhi sebarang ketetapan yang diputuskan oleh kerajaan berkaitan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 berhubung pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun.

"Setiap apa yang dikemukakan itu adalah untuk menyelaraskan mutu pendidikan di seluruh negara. Tabika Perpaduan akan melihat kepada keperluan nanti," katanya.

Beliau menyifatkan inisiatif penyelarasan itu sebagai langkah positif memandangkan terdapat hampir 30,000 tadika pelbagai kategori di seluruh negara, termasuk tadika kerajaan, swasta, antarabangsa, keagamaan serta Tabika Perpaduan dan KEMAS.

-- BERNAMA


#Dewan Rakyat #ikon perpaduan negara #baba nyonya #mutu pendidikan