PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius insiden membabitkan kematian seorang peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Maran.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata UiTM telah diminta menyediakan laporan lengkap bagi mengenal pasti punca kejadian dan tindakan susulan yang perlu diambil.
“Kita mengambil perhatian serius terhadap setiap perkara yang melibatkan pelajar-pelajar yang mengikuti program seumpama ini.
“Saya telah meminta pihak UiTM menyediakan laporan lengkap untuk kita lihat apakah punca-punca dan juga tindakan seterusnya yang perlu kita lakukan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tajaan kepada Pelajar Terbaik STPM 2025 di Putrajaya pada Isnin.
Menurut Zambry, laporan awal yang diterima KPT menunjukkan kejadian itu melibatkan faktor suhu dan haba yang menyebabkan beberapa pelajar terkesan ketika menjalani latihan berkenaan.
Beliau berkata insiden itu perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Dalam keadaan begini, kita tentu perlu mengambil pengajaran supaya ia tidak berlaku lagi.
“Laporan awal yang disampaikan kepada kita melibatkan suhu dan haba yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan beberapa orang pelajar terkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga peserta yang meninggal dunia serta mendoakan pelajar yang sedang menerima rawatan segera pulih dan dapat meneruskan pengajian.
Terdahulu, seorang peserta meninggal dunia manakala lapan lagi menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai KKEC 2026 di UiTM Jengka, Maran.