KPT benarkan UA, IPTS laksanakan PdP dalam talian

Fauzi Suhaimi
Mac 20, 2020 10:04 MYT
KPT membenarkan semua UA dan IPTS melaksanakan PdP dalam talian. - Gambar BERNAMA
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan semua Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian.
KPT dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan itu bagaimanapun perlu mematuhi syarat bahawa semua pelajar secara keseluruhannya mendapat akses manakala pensyarah serta infrastruktur telah sedia sepenuhnya.
"KPT mengambil maklum akan tahap kesediaan beberapa institut pengajian tinggi daripada segi infrastruktur dan pensyarah serta penawaran program PdP dalam talian sepenuhnya, yang mendapat lesen Open and Distance Learning (ODL).
"KPT berharap agar tiada pelajar yang ketinggalan dalam sesi PdP ini kerana tidak mendapat akses internet.
"Ingin diingatkan sekali lagi bahawa sesi PdP secara bersemuka atau face-to-face adalah tidak dibenarkan sama sekali," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan sebuah universiti dalam negara membangunkan portal i-Learn yang memfokuskan pembangunan teknologi komunikasi untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan pendidikan serta menambah baik teknik pengajaran konvensional seiring dengan penularan wabak Koronavirus (COVID-19).
#COVID-19 #Kementerian Pengajian Tinggi #koronavirus #KPT #Media #pdp #pelajar #pembelajaran dan pengajaran dalam talian #pendidikan