PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan empat tema Resolusi Pendidikan Tinggi Bumiputera yang akan dibentangkan di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, yang akan bermula Khamis ini.

Empat tema itu terdiri daripada akses pendidikan tinggi untuk bumiputera; penyediaan bakat mahasiswa bumiputera semasa di universiti; kebolehpasaran graduan bumiputera; dan penubuhan pusat kajian pembangunan bumiputera.

KPT dalam kenyataan pada Selasa berkata, Penasihat Pendidikan Tinggi KPT, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali akan mewakili kluster pendidikan tinggi bagi membentangkan resolusi berkenaan pada kongres tiga hari itu.

Menurutnya empat Naib Canselor Universiti Awam telah membentangkan resolusi berkenaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam.

Pembentangan resolusi itu melibatkan naib canselor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman); Universiti Pendidikan Sultan Idris (Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) (Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin).

"Sebelum itu telah diadakan beberapa siri bengkel bagi memperhalusi resolusi ingin disampaikan, yang diketuai oleh Noor Azlan. Kerjasama menggariskan tema ini dilihat penting dalam menggerakkan usaha bagi mengukuhkan tahap kebolehpasaran graduan bumiputera yang semakin mencabar, menuntut beberapa inisiatif dan sokongan," menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, terdapat beberapa usaha yang perlu dilaksanakan, termasuklah biasiswa khas diteruskan kepada pelajar bumiputera, kerjasama antara agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), kursus keusahawanan diperluaskan di universiti, serta penawaran biasiswa kepada pelajar B40 bumiputera untuk mengikuti latihan industri di syarikat ternama.

Kementerian berkata, aspek pemerkasaan graduan Bumiputera juga ditekankan seiring dengan Malaysia MADANI iaitu membentuk graduan dengan daya cipta tinggi, sahsiah dan integriti, semangat ihsan dan berupaya memajukan kerjaya sendiri.

Katanya, sesi itu turut membincangkan penubuhan Pusat Kajian Pembangunan Bumiputera bagi tujuan membangunkan pangkalan data Bumiputera, menjalankan kajian, mewujudkan pelantar perbincangan, dan advokasi polisi bagi membangunkan masyarakat Bumiputera.

"Pusat ini akan dikelola oleh UiTM melalui Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) dan UKM melalui Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA)," katanya. - BERNAMA