KUALA LUMPUR:Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi pelajar baru dan lama ke kampus masing-masing.

Menurut KPT, semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilakukan secara dalam talian, termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran, sehingga ada pengumuman mengenainya dilakukan.

"KPT amat prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat dengan peningkatan kes COVID-19 yang berlaku hanya selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti.

"KPT turut prihatin mengenai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar, staf universiti dan semua pihak yang terlibat. 

"Justeru, KPT mencadangkan kepada semua IPT untuk menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar-pelajar baharu dan lama ke kampus,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar-pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak. 

Sementara itu, bagi pelajar-pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing.

Pihak IPT diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini. 

KPT juga mencadangkan kepada semua IPT untuk menangguhkan semua program atau aktiviti melibatkan perhimpunan di kampus.

Tambahnya, sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing. 

Dalam perkembangan berkaitan, KPT juga telah mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memohon mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan pelajar-pelajar pulang ke kampus.

Ia khususnya bagi mereka yang telah membeli tiket penerbangan pulang ke IPT masing-masing.

"Hasil rundingan tersebut, syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar sehingga 31 Disember 2020.

"Keprihatinan dan kepekaan daripada semua pihak dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan masyarakat amat diperlukan dalam menghadapi situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19 ini," katanya.