Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

KPT lantik tiga sarjana sandang kursi akademik luar negara

Pia Ernadya 19/11/2025 | 07:55 MYT
KPT mengumumkan pelantikan tiga sarjana terkemuka sebagai Penyandang Kursi Akademik Luar Negara bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember 2025. -Foto KPT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan tiga sarjana terkemuka sebagai Penyandang Kursi Akademik Luar Negara bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember 2025.

Tiga tokoh akademik yang dilantik ialah:

Menurut KPT, pelantikan Dr Shahanum Md Shah, 60, menzahirkan pengiktirafan terhadap kepakaran beliau dalam bidang pendidikan muzik.

Beliau berkelulusan Doktor Falsafah dalam Pendidikan Muzik (Ethnomusicology and Administration) dari Indiana University, Amerika Syarikat pada tahun 2000.

"(Selain itu), beliau juga pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan termasuk Penolong Naib Canselor Kolej Seni Kreatif (2022–2024), Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Kolej Pengajian Seni Kreatif (2022) serta merupakan Dekan Fakulti Muzik yang pertama.

"Sejak 2009, beliau turut berkhidmat sebagai hakim pertandingan muzik di pelbagai negara dan kini menjadi panel Music Quality Enhancement Europe bagi tempoh 2024–2027," katanya.

Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid, 51, pula membawa pengalaman luas dalam bidang dasar awam dan etnik.

Beliau kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), UKM sejak tahun 2015 dan memiliki ijazah Doktor Falsafah dalam Law, Policy and Society dari Northeastern University, Amerika Syarikat.

"Di samping itu, beliau pernah dilantik sebagai Country Consultant for Malaysia for the United Nations Entity for Gender Equality and the Empowerment of Women pada tahun 2014, menghasilkan sembilan (9) buah kertas dasar nasional serta terlibat sebagai konsultan dalam pelbagai projek berkaitan dasar awam.

"Manakala, pelantikan Dr Indirawati @ Indrawati Zahid, 59, merupakan tokoh yang berpengaruh dalam bidang fonologi dan pengajian Melayu.

"Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Fonologi daripada UM pada tahun 2003 dan dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024.

"Lebih penting lagi, beliau memainkan peranan strategik dalam penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFSUM di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), Guangzhou.

"Pelantikan beliau turut menerima perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selaras dengan penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim sejak tahun 2024," jelasnya.

KPT menegaskan pelantikan ketiga-tiga sarjana ini akan memperkukuh pengajian Asia Tenggara, Malaysia dan Melayu di peringkat dunia serta meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

“Kementerian merakamkan penghargaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua penyandang Kursi Akademik Luar Negara dalam menggalas amanah untuk mengangkat nama Malaysia di pentas global,” jelas KPT.






#KPT #Kementerian Pendidikan Tinggi #Zambry Abdul Kadir