KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memendekkan tempoh pengajian sesetengah program daripada empat tahun kepada tiga tahun.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, atas dasar itu, sebanyak 44 program pengajian dari sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) telah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.

Menurut beliau, perkara tersebut boleh mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung selain membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal.

“KPT sentiasa mengemas kini program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara.

“Kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik dan menguntungkan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya pada Ahad. - Sinar Harian