MALAYSIA
KPT perkukuh jaringan global pendidikan tinggi di Ekspo 2025 Osaka

Minggu yang berlangsung sempena minggu ke-15 Ekspo 2025 Osaka itu, berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung dalam tempoh enam hari, sekali gus membuktikan sambutan luar biasa terhadap penyertaan Malaysia di pentas antarabangsa. - Foto KPT
KUALA LUMPUR: Minggu Pendidikan Tinggi di Ekspo 2025 Osaka yang berlangsung dari 21 hingga 26 Julai lalu menyaksikan kejayaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperluas jaringan kolaborasi dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia di peringkat global.
Ringkasan AI
- Minggu Pendidikan Tinggi anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena Ekspo 2025 Osaka dari 21 hingga 26 Julai lalu berjaya memperkukuh jaringan pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.
- Bertemakan "Study in Malaysia", program ini menampilkan pelbagai inisiatif strategik, termasuk pelancaran platform digital Edutourism Gateway oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.
- Sebanyak 31 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian (MoA) ditandatangani antara 11 IPT Malaysia dan rakan institusi Jepun dalam 13 bidang utama seperti perubatan, kejuruteraan dan ekonomi.
- Selain itu, 168 pakej edutourism ditawarkan menerusi 55 rakan sepadan, manakala sesi padanan perniagaan bersama 20 syarikat luar negara turut membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Antara pencapaian utama minggu berkenaan termasuk 31 sesi pemeteraian dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian (MoA) antara 11 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dan IPT Jepun dalam 13 bidang strategik seperti perubatan, ekonomi, perbankan Islam, marin, pertanian dan kejuruteraan.
"Pelbagai bentuk kerjasama turut dimeterai, antaranya pertukaran pelajar dan pensyarah, latihan industri, projek penyelidikan bersama serta pembangunan program akademik berasaskan keperluan industri.
"Selain itu, 11 IPT Malaysia telah menyertai sesi padanan perniagaan bersama 20 syarikat luar negara bagi meneroka potensi kerjasama dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk, termasuk pemindahan teknologi dan pembangunan kurikulum bersama.
"Sebanyak 22 sesi perkongsian ilmu turut dianjurkan dalam bentuk pocket talk, podcast dan forum dengan penglibatan 15 IPT Malaysia yang mengetengahkan kepakaran masing-masing sebagai bukti keupayaan dan kebitaraan pendidikan tinggi negara," kata kementerian itu pada Ahad.
Mengulas lanjut, KPT turut memaklumkan, minggu yang berlangsung sempena minggu ke-15 Ekspo 2025 Osaka itu, berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung dalam tempoh enam hari, sekali gus membuktikan sambutan luar biasa terhadap penyertaan Malaysia di pentas antarabangsa.
Ekspo berkenaan, yang dianjurkan setiap lima tahun, melibatkan penyertaan 158 buah negara dengan kehadiran jutaan pengunjung dari seluruh dunia.
KPT turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), serta agensi-agensi pelaksana di bawah KPT termasuk Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dan Education Malaysia Global Services (EMGS) atas kerjasama padu menjayakan misi ini.
Menurut kenyataan itu, pendekatan whole-of-government akan terus diperkukuh dalam usaha melahirkan bakat terbaik negara dan meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi unggul di peringkat antarabangsa, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami