Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

KPT rancang perluas sistem digital PPUM ke hospital pengajar lain - Zambry

Bernama 27/10/2025 | 14:00 MYT
Zambry (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU Pertukaran Rekod Perubatan antara PPUM dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) hari ini. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan model transformasi digital yang dibangunkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) diperluas ke semua hospital pengajar universiti di seluruh negara bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata inisiatif itu membolehkan perkongsian data dan rekod pesakit dilakukan dengan lebih pantas serta selamat antara hospital pengajar, selain menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 dan agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara.

"PPUM telah membangunkan satu sistem integrasi data dikenali sebagai Total Hospital Information System yang melibatkan penggunaan aplikasi elektronik termasuk telefon pintar bagi memantau keadaan pesakit.

"Ini satu perkembangan menarik kerana sistem bersepadu itu membolehkan perkongsian data antara universiti, dan saya berharap ia dapat digunakan secara meluas serta ditambah baik mengikut keperluan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Pertukaran Rekod Perubatan antara PPUM dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) di sini hari ini.

Pada majlis itu, PPUM dan SASMEC diwakili oleh Pengarah masing-masing, Prof Dr Nazirah Hasnan dan Prof Datuk Dr Mohamed Saufi Awang.

Melalui sistem integrasi data itu, PPUM memperkenalkan dua inovasi utama iaitu aplikasi mudah alih Patient Journey dan Virtual Ward yang membolehkan pesakit mengurus perjalanan rawatan mereka serta menerima penjagaan kesihatan dari rumah.

Selain itu, pemeteraian MoU antara PPUM dan SASMEC juga membuka laluan kepada pembangunan sistem pertukaran rekod perubatan elektronik yang selamat, pantas dan sistematik, sekali gus memperkukuh kesinambungan rawatan antara hospital pengajar universiti di bawah KPT.

Zambry berkata sistem yang dibangunkan PPUM turut memperkukuh jaringan perkongsian data kesihatan antara universiti dan boleh dijadikan model kepada pembangunan hospital pintar negara pada masa depan.

"Pendigitalan sektor kesihatan bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan keselamatan pesakit, malah membentuk asas kepada budaya penyelidikan dan pembelajaran berasaskan data yang mampan," katanya.

Beliau berkata ketika ini terdapat 11 hospital pengajar universiti di seluruh negara dan KPT akan menggalakkan semua institusi berkenaan bekerjasama memperluas penggunaan sistem tersebut.

-- BERNAMA



#telefon pintar #PPUM #budaya penyelidikan #SASMEC