MALAYSIA
KPT sedia bantu pelajar Malaysia di Iran untuk ditempatkan di IPT tempatan
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya akan membantu untuk menempatkan mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara berdasarkan kursus akademik masing-masing. - Gambar fail/BERNAMA
KUANTAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia memberi bantuan penempatan pendidikan kepada semua pelajar Malaysia di Iran sekiranya mereka memutuskan untuk pulang ke tanah air.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya akan membantu untuk menempatkan mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara berdasarkan kursus akademik masing-masing.
"Mereka merupakan rakyat Malaysia dan dalam keadaan sebegini, adalah menjadi kewajipan kita untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar 2025 di Awangan Palace di sini hari ini.
Ditanya mengenai laporan berita berkenaan empat pelajar Malaysia di Iran yang enggan untuk pulang, beliau berkata pihaknya telah berusaha sedaya upaya untuk menghulurkan bantuan namun tidak dapat mengambil sebarang tindakan jika pelajar berkenaan memilih untuk tidak pulang.
"Kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak mahu pulang. Namun, jika mereka berubah fikiran, kita bersedia membantu," katanya.
Zambry berkata KPT sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar dalam menguruskan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, khususnya ketika berlakunya sebarang krisis.
Semalam media melaporkan, Kementerian Luar dalam peringkat akhir memuktamadkan usaha untuk membantu rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka di Iran kembali ke tanah air susulan konflik yang sedang berlaku antara Israel dan Iran.
-- BERNAMA