Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

KPT sedia kerjasama dengan KPM perkukuh nilai moral, etika dalam sistem pendidikan

Bernama 14/10/2025 | 13:30 MYT
Dr Zambry ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Akedemik Bahasa Melayu 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkukuh integrasi nilai moral dan etika dalam kerangka pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata pendidikan tidak seharusnya dilihat sebagai dua sistem berasingan antara sekolah dan universiti, sebaliknya satu proses berterusan yang membentuk individu secara holistik dengan keutuhan intelektual dan moral.

"Kita (KPT) terbuka (bekerjasama), saya ingin melihat dalam konteks kenapa pendidikan negara tidak boleh dipisahkan.

"Pertama, antara KPM dan KPT, iaitu proses kena ada kesinambungannya. Kedua, dari segi kurikulum yang dibina tidak boleh menjadi satu kurikulum terpisah tanpa ada soal-soal disiplin lain, termasuk nilai yang hendak kita bina," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu 2025 di sini hari ini.

Zambry berkata kurikulum pendidikan tinggi ketika ini telah menerapkan elemen nilai melalui modul Mata Pelajaran Umum (MPU) yang sedang melalui proses penambahbaikan sejak tahun lepas di bawah bimbingan dua tokoh akademik, iaitu Prof Datuk Dr Osman Bakar dan Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Beliau berkata kerangka baharu itu memberi penekanan kepada pembinaan negara, tamadun dan pembentukan nilai, selain selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh asas moral dalam sistem pendidikan pada semua peringkat.

"Walaupun subjek-subjek ini sudah wujud pada peringkat universiti, Perdana Menteri telah mengarahkan supaya kandungannya dikongsi dengan KPM supaya nilai asas ini dapat diterapkan lebih awal dalam proses pembelajaran," katanya.

Kedua-dua kementerian juga sedang meneliti semula dasar pendidikan masing-masing bagi memastikan pembangunan nilai terus menjadi komponen utama dalam sistem pendidikan negara.

"Pada peringkat pendidikan tinggi, dasar baharu kita akan terus memperkukuh sistem nilai moral dan etika dalam proses pendidikan. Saya percaya KPM juga bergerak ke arah yang sama," katanya.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan menggesa sistem pendidikan negara memberi tumpuan semula kepada usaha memperkukuh nilai moral dan etika, susulan beberapa kes melibatkan kanak-kanak yang dikaitkan dengan kelemahan pembentukan nilai.

-- BERNAMA



#Bahasa Melayu #Kementerian Pendidikan #dasar baharu #nilai moral