MALAYSIA

KPT sedia laluan khas lulusan baharu Kolej Komuniti sambung pengajian

Bernama 13/07/2025 | 07:50 MYT
Zambry ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO 2025 Bahagian Setiawangsa di Residensi UTM hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan laluan khas kepada lulusan baharu Kolej Komuniti untuk melanjutkan pengajian ke peringkat politeknik dan universiti dalam bidang teknikal.


Ringkasan AI
  • Laluan Khas ke Politeknik dan Universiti: Lulusan baharu Kolej Komuniti kini boleh melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang teknikal melalui laluan khas yang disediakan oleh KPT.
  • Penambahbaikan Kursus dan Keberkesanan TVET: KPT memperkenalkan dasar baharu untuk menilai semula keberkesanan Kolej Komuniti, memastikan kursus yang ditawarkan relevan dengan keperluan semasa dan pasaran kerja.
  • Cadangan Penubuhan Kolej Komuniti Bandar: KPT sedang menilai keperluan mewujudkan Kolej Komuniti di kawasan bandar seperti Setiawangsa, bagi memperkasa pembangunan modal insan belia tempatan.


Menteri berkenaan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata ia bagi menyediakan laluan kerjaya lebih baik kepada lulusan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas menamatkan pengajian di Kolej Komuniti.

"Kalau dulu mungkin mereka terpaksa memohon masuk hanya ke universiti teknikal tetapi hari ini kita mempunyai ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi (di universiti dan politeknik lain) berdasarkan kelulusan, kelayakan dan kursus yang mereka ikuti," katanya.

Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa Tahun 2025 di sini hari ini.

KPT juga memperkenalkan dasar baharu untuk melihat semula keberkesanan Kolej Komuniti dalam melatih tenaga mahir tempatan dengan memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi keperluan semasa.

Beliau berkata KPT juga sedang menilai keperluan untuk mewujudkan Kolej Komuniti di kawasan bandar.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa Datuk Seri Dr Izudin Ishak dalam ucapan aluan memohon supaya institusi pendidikan diwujudkan di kawasan Setiawangsa, sekurang-kurangnya sebuah Kolej Komuniti untuk menjadi pemangkin pembangunan modal insan, khususnya untuk golongan belia.

-- BERNAMA




#lulusan Kolej Komuniti #Kementerian Pendidikan Tinggi #Zambry Abdul Kadir #TVET