MALAYSIA

KPT serah kepada polis siasat kes pelajar UM maut jatuh bangunan

Pia Ernadya 23/10/2025 | 05:50 MYT
Zambry bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 di Putrajaya, hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan kes kematian seorang penuntut Universiti Malaya (UM) yang maut selepas terjatuh dari bangunan kolej kediaman universiti itu pada Jumaat lalu, masih dalam siasatan pihak berkuasa.


Ringkasan AI
  • KPT menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyediakan laporan rasmi berhubung insiden pelajar terjatuh dari bangunan kolej kediaman.
  • UM beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menasihatkan agar privasi keluarga dihormati serta mengelak sebarang spekulasi atau maklumat tidak sahih.
  • Jabatan Hal Ehwal Pelajar UM menyalurkan bantuan dan seluruh warga universiti menzahirkan rasa sedih serta simpati.


Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menyediakan laporan rasmi berhubung kejadian berkenaan.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa, pihak polis untuk menyediakan laporan itu.

“Jadi untuk peringkat ini, biarlah kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk buat laporan seperti ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM) meninggal dunia selepas terjatuh dari salah sebuah bangunan kolej kediaman universiti itu.

UM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mahasiswa yang terlibat dalam insiden berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurut kenyataan itu, punca kejadian masih dalam siasatan dan UM memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

UM juga meminta semua pihak agar menghormati privasi keluarga pelajar berkenaan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau perkongsian maklumat yang tidak sahih berhubung insiden itu.






#Kementerian Pendidikan Tinggi #penuntut Universiti Malaya #jatuh kolej kediaman #Zambry Abd Kadir #terkini