MALAYSIA

KPT terus komited bantu pelajar B40 lanjut pelajaran - Zambry

Bernama 27/09/2025 | 08:15 MYT
Zambry bercakap kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek MADANI POLYCC di Kampung Batu 8, Bendang Siam hari ini. - Foto Bernama
TAIPING: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited membantu pelajar terutama daripada golongan B40 yang berdepan masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.


Ringkasan AI
  • KPT komited bantu pelajar B40 melalui inisiatif Sulung dan Tabung Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi memastikan mereka dapat melanjutkan pengajian ke IPT.
  • Program Sulung beri peluang kepada anak pertama keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah ke universiti awam.
  • Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk projek komuniti di Kampung Batu 8, termasuk menaik taraf infrastruktur dan program TVET MADANI, dengan sumbangan tambahan seperti bot daripada Politeknik Bagan Datuk.


Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata bantuan itu disalurkan melalui pelbagai program termasuk inisiatif Sulung serta Tabung Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

"...menjadi tanggungjawab kita untuk mengenal pasti maklumat berkaitan pelajar terlibat. Kita telah dan akan terus menyantuni mereka melalui program Sulung mahupun YPS, tanpa mengira kaum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek MADANI POLYCC di Kampung Batu 8, Bendang Siam di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Datuk Mohd Zahari Ismail.

Program Sulung adalah inisiatif pendidikan bagi memberi peluang dan pembiayaan kepada pelajar daripada keluarga B40 yang merupakan anak pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian di peringkat ijazah ke atas di universiti awam.

Sementara itu, Zambry berkata sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan komuniti di Kampung Batu 8 melalui inisiatif Projek Kampung Angkat MADANI serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MADANI yang dikendalikan JPPKK.

Peruntukan itu merangkumi beberapa projek infrastruktur termasuk menaik taraf surau, pembinaan dewan orang ramai, dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Bendang Siam, bilik jenazah Masjid Al-Wusqa serta gazebo rekreasi di surau sebagai tempat istirahat.

Politeknik Bagan Datuk turut menyumbangkan sebuah bot untuk kegunaan penduduk kampung.

-- BERNAMA





#Kementerian Pendidikan Tinggi #Zambry Abdul Kadir #golongan B40 #melanjutkan pelajaran