MALAYSIA

KPT terus pantau lima pelajar Malaysia di Iran - Zambry

Bernama 12/07/2025 | 09:30 MYT
Zambry berkata pihak kerajaan telah memberi ruang dan menyatakan hasrat untuk membantu mereka sekiranya mahu pulang ke tanah air. - Foto Bernama
JELI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau lima pelajar Malaysia yang masih berada di Iran kerana ingin meneruskan pengajian, kata Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.


Ringkasan AI
  • KPT pantau keselamatan pelajar Malaysia di Iran: Lima pelajar memilih kekal di Iran untuk meneruskan pengajian walaupun kerajaan telah menggesa rakyat pulang; mereka telah menandatangani surat aku janji dan akan terus dipantau demi keselamatan.
  • Semua pelajar UPSI yang cedera telah keluar hospital: Pelajar terakhir discaj pada 8 Julai; tiga telah kembali ke kampus manakala selebihnya mengikuti kelas secara dalam talian.
  • Tragedi kemalangan bas UPSI ragut 15 nyawa: Nahas pada 9 Jun melibatkan bas sewa khas dan MPV Perodua Alza, menyebabkan 15 maut dan 33 cedera termasuk pemandu serta penumpang kedua-dua kenderaan.


Beliau berkata pihak kerajaan juga telah memberi ruang dan menyatakan hasrat untuk membantu mereka sekiranya mahu pulang ke tanah air.

"Kita bagaimanapun akan terus memantau walau di mana sahaja mereka berada demi keselamatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Bukit Nangka, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata hanya lima rakyat Malaysia masih berada di Iran atas pilihan sendiri.

Kesemua mereka telah menandatangani surat aku janji untuk kekal di Iran meskipun kerajaan sebelum ini menggesa supaya kesemua rakyat meninggalkan negara terbabit berikutan konflik yang semakin meruncing.

Pada 23 Jun lepas, sebanyak 17 rakyat Malaysia yang berada di Iran selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama enam warga Iran yang merupakan tanggungan kepada warga Malaysia dan seorang rakyat Singapura.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas bulan lepas, Zambry berkata kesemua mereka telah dibenarkan keluar hospital.

"Pelajar terakhir yang cedera telah discaj pada 8 Julai di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Sekarang ini, tiga pelajar sudah memulakan pengajian mereka di kampus, manakala selebihnya mengikuti kelas secara dalam talian," katanya.

Dalam nahas 9 Jun itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terlibat dalam kemalangan yang turut membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

-- BERNAMA





#Kementerian Pendidikan Tinggi #Zambry Abdul Kadir #pelajar malaysia #Iran #konflik Israel-Iran