MALAYSIA
KPWKM buka ruang pelajar kaunseling UPSI bantu rakan mangsa nahas bas

Nancy berkata kebanyakan mangsa yang sedang menerima rawatan di hospital didapati lebih selesa untuk berinteraksi dengan kaunselor sebaya berbanding kaunselor yang disediakan kementerian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuka ruang kepada pelajar jurusan kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI) untuk turut membantu rakan mangsa mereka yang terlibat kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak.
Ringkasan AI
- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membenarkan pelajar kaunseling UPSI membantu rakan mangsa kemalangan di Gerik kerana mangsa lebih selesa berinteraksi dengan kaunselor sebaya.
- Peluang ini membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu kaunseling secara praktikal, dan pendekatan ini terbukti lebih berkesan dalam memberi sokongan emosi kepada mangsa.
- Kementerian turut merancang sesi kaunseling untuk keluarga mangsa mengikut kesesuaian masa, sambil menyampaikan sumbangan dan sokongan moral kepada mereka.
"Ada mangsa yang tidak mahu bercakap dengan orang lain, tetapi apabila kawan sendiri datang, mereka terbuka untuk berkongsi. Ini adalah maklum balas yang kami terima daripada petugas kami yang ke sana. Mereka (mangsa) lebih bersedia bercakap dengan pelajar kaunseling dari UPSI," katanya.
"Ini merupakan pengalaman baharu buat kita, apabila kaunselor yang masih dalam latihan pun mampu memberikan semangat dan sokongan moral kepada rakan-rakan mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Wanita Gig and Business In Technology (Gig@BIT) 2025 di sini, hari ini.
Nancy berkata beliau bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, akan menziarahi keluarga mangsa yang terkorban bagi menyampaikan sumbangan dan memberi sokongan yang diperlukan.
"Kita sudah berbincang supaya setiap keluarga diberikan sesi kaunseling mengikut kesesuaian masa dan kesediaan mereka. Kita tidak mahu mengganggu emosi mereka, tetapi kita ingin menyantuni mereka dengan sebaiknya," katanya.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut dan 33 orang tercedera apabila bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53, JRTB, berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Bas yang disewa khas pelajar universiti berkenaan berlepas dari Jertih, Terengganu pada malam Ahad dan sedang dalam perjalanan ke kampus universiti berkenaan di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami