SIBU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) terus komited dalam melipatgandakan usaha memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif dan gejala sosial dalam kalangan remaja.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini termasuk meningkatkan penglibatan kementerian dan agensi lain serta masyarakat bagi mengurangkan lagi statistik kes yang menyentuh isu kesihatan reproduktif dan sosial dalam kalangan golongan berkenaan.

"Kementerian telah melebarkan fokus dan usaha dengan melibatkan semua peringkat usia daripada kanak-kanak hinggalah warga emas.

"Masyarakat memainkan peranan yang signifikan dalam menerapkan ilmu pengetahuan dan tanggapan betul mengenai kesihatan reproduktif dan seksual, serta kaitannya dengan gejala sosial," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Forum Advokasi Pendidikan Reproduktif Terutama Kepada Golongan Berkeperluan Khas Dari Perspektif Agama Di Sarawak, di sini, pada Khamis.

Nancy berkata, meskipun kementerian atau agensi lain mempunyai program tersendiri, pihaknya tetap mencari jalan untuk menarik remaja kembali memperbaiki masa hadapan mereka.

Terdahulu, dalam ucapannya, Nancy berkata, prevalens remaja di Malaysia yang melakukan hubungan seks meningkat daripada 7.3 peratus pada 2017 kepada 7.6 peratus pada 2022 dan trend ini membimbangkan dengan usia kali pertama melakukannya seawal 13 tahun.

Beliau berkata, 88 peratus daripada mereka melakukan aktiviti seksual tidak menggunakan kondom dan tanpa sebarang kaedah perancang keluarga, selain kurang berpengetahuan dalam kesihatan reproduktif dengan hanya 1.3 peratus berumur antara 13 dan 18 tahun mempunyai pengetahuan tentang HIV.

"Terdapat tiga negeri mencatatkan peratusan tertinggi bagi remaja berumur antara 13 dan 18 tahun yang pernah melakukan hubungan seks iaitu negeri Kelantan (9.5 peratus), Sarawak (9.1 peratus) dan Pulau Pinang (8.9 peratus).

"Satu daripada faktor peningkatan kes berkaitan kesihatan reproduktif adalah pendedahan secara berlebihan kepada maklumat daripada media sosial dan internet yang berpotensi mempengaruhi tingkah laku mereka," katanya.

Beliau berkata, perkara itu membawa kepada berlakunya hubungan seksual luar perkahwinan, penyakit jangkitan seksual, perkahwinan bawah umur, pengguguran yang tidak selamat dan pembuangan bayi.

Antara usaha kementeriannya ialah dengan penubuhan Kafe@TEEN yang menjadi pusat sehenti bagi membantu remaja terlibat dengan kes kesihatan reproduktif dan sosial termasuk golongan kurang upaya yang berisiko tinggi untuk diambil kesempatan.

Katanya, sebanyak 18 Pusat Remaja Kafe@TEEN telah ditubuhkan di seluruh negara sejak 2006 dengan dua daripadanya terletak di Long Bedian dan Sri Aman, Sarawak.

"Kami mempunyai beberapa persatuan (yang menawarkan perkhidmatan seperti ini) tetapi kami mahu mempunyai lebih banyak lagi. Melalui aktiviti anjuran pusat sehenti ini kita dapat melatih mereka (remaja) dan melengkapkan mereka dengan kemahiran," katanya.

Terdapat 600,000 rakan strategik Kafe@TEEN di seluruh negara dan pihaknya kini mengkaji untuk menambah jumlah kafe@TEEN di Sarawak. - BERNAMA