KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff menyatakan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kerangka undang-undang berkaitan warga emas melalui penggubalan Rang Undang-Undang berkaitan Warga Emas.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, usaha itu sebagai mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh semua golongan masyarakat dan ahli akademik dalam menjaga keperluan dan kesejahteraan warga emas.

“Ia termasuk penambahbaikan dalam bantuan keselamatan sosial melalui skim Bantuan Warga Emas, serta mengoptimumkan fungsi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) sebagai Hub Pembelajaran Sepanjang Hayat.

“Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan warga emas dengan meneruskan usaha bersepadu bagi mempertingkat penjagaan, perlindungan dan sokongan supaya warga emas menjadi anggota masyarakat yang sihat, aktif dan produktif.

“Diharapkan komitmen, kerjasama erat dan perkongsian amalan terbaik bersama negara-negara Asia-Pasifik dapat menjadi pemangkin dalam mempersiapkan Malaysia ke arah menjadi Negara Tua menjelang 2030,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara bersempena Asia-Pacific Intergovernmental Meeting on the Fourth Review and Appraisal of the Madrid International Plan of Action on Ageing (MIPAA) yang sedang berlangsung di Bangkok, Thailand pada Khamis.

Antara intipati utama kenyataan tersebut adalah penglibatan aktif Malaysia di peringkat ASEAN dengan melaksanakan salah satu inisiatif utama iaitu Regional Plan of Action (RPA) to Implement the Kuala Lumpur Declaration on Ageing: Empowering Older Persons in ASEAN yang telah diperakukan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 pada 26 Oktober 2021.

RPA ini mengandungi 10 tindakan dan 42 aktiviti untuk menyokong negara anggota ASEAN dalam mempromosikan penuaan yang sihat, aktif dan produktif di rantau ini.

Selain itu, Malaysia turut melaksanakan ASEAN-Wide Research Networking on Ageing (ARNA) yang akan menghasilkan tiga hasil utama iaitu Population Ageing and Policy Responses, ASEAN Research on Ageing dan Standardized Research Protocol on Ageing.