Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang untuk mewujudkan akta baharu, iaitu Akta Gangguan Seksual.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ia adalah perjuangan bagi melindungi mangsa gangguan seksual terutamanya dari kalangan wanita.

"Sebelum ini kita ada pekeliling yang melindungi gangguan seksual di tempat kerja dan dalam badan kerajaan.

"Itu hanyalah pekeliling, bukan akta, dan tidak melibatkan kes gangguan seksual di tempat awam atau sektor swasta," kata Rohani ketika ditemui Astro AWANI ketika menghadiri Persidangan ROSE di sini, hari ini.

Jelas Rohani, akta itu penting bagi memastikan terdapat undang-undang yang boleh memberi keadilan kepada mangsa.