KPWKM perkasa keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran digital

NANCY: Persekitaran digital yang lebih selamat bukan sahaja membantu melindungi kesejahteraan kanak-kanak, malah memberikan keyakinan kepada ibu bapa dan keluarga dalam membimbing penggunaan teknologi secara lebih bertanggungjawab. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus melaksanakan dan memperkukuh pelbagai inisiatif perlindungan kanak-kanak yang menyeluruh termasuk program kesedaran keselamatan dalam talian dan penguatkuasaan perundangan berkaitan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata KPWKM akan terus mengadakan kerjasama strategik dan bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memastikan langkah pencegahan, pengesanan awal dan perlindungan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
"Langkah pengukuhan kawal selia ini amat signifikan dalam konteks perlindungan kanak-kanak, memandangkan mereka semakin terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian termasuk eksploitasi seksual, penipuan, gangguan siber serta pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai dan berbahaya.
"Persekitaran digital yang lebih selamat bukan sahaja membantu melindungi kesejahteraan kanak-kanak, malah memberikan keyakinan kepada ibu bapa dan keluarga dalam membimbing penggunaan teknologi secara lebih bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, MCMC memaklumkan semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Jan 2026, melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut MCMC, Peruntukan Deeming bertujuan memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga.
Nancy dalam pada itu menegaskan perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan masyarakat digalakkan untuk tampil melaporkan sebarang kebimbangan atau kes berkaitan keselamatan kanak-kanak dan keluarga agar tindakan segera dapat diambil.
Sebarang laporan boleh disalurkan melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 yang beroperasi 24 jam bagi memastikan bantuan dan perlindungan disampaikan tanpa kelewatan.
"Usaha memperkukuh keselamatan ruang digital ini memerlukan kesedaran, kebersamaan dan komitmen berterusan daripada semua pihak demi memastikan kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, sejahtera dan terlindung, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memelihara kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara menyeluruh," katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berasingan turut menyambut baik langkah MCMC memperkenalkan inisiatif Peruntukan Deeming itu bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara yang teratur, konsisten dan berkesan.
"Dalam ruang lingkup pendidikan, inisiatif baharu ini dapat meningkatkan keselamatan murid dan seluruh warga pendidikan daripada ancaman jenayah siber seperti eksploitasi seksual, penipuan dan penyalahgunaan platform digital.
"KPM akan meningkatkan kerjasama dengan semua pemegang taruh termasuk MCMC dan PDRM bagi memastikan aspek keselamatan digital dalam kalangan murid dan warga pendidikan dapat terus dipertingkatkan," menurut kementerian itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


