MALAYSIA
KPWKM sedang bangunkan pelan tindakan orang kurang upaya baharu - Noraini Ahmad

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang membangunkan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PT OKU) yang baharu sebagai kesinambungan kepada pelan terdahulu, dengan mengambil kira input daripada pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil serta agensi berkaitan.
Ringkasan AI
- KPWKM bangunkan Pelan Tindakan OKU baharu sebagai kesinambungan pelan terdahulu (pencapaian 69.09%), dengan input NGO, agensi berkaitan dan mekanisme pemantauan inklusif melalui MKB OKU.
- Penekanan kepada akauntabiliti kementerian dan agensi, pemantauan melalui kajian separuh penggal, mesyuarat rentas kementerian, serta penglibatan OKU dalam 8 daripada 10 jawatankuasa.
- Kerajaan juga memuktamadkan RUU Penjagaan Warga Emas dan membangunkan National Aging Blueprint sebagai persediaan Malaysia menuju status negara tua menjelang 2030.
Beliau berkata pembangunan PT OKU baharu juga akan mengenal pasti mekanisme pemantauan dan pelaporan yang sesuai bagi setiap program, selain mengambil kira dasar OKU sedia ada, pencapaian PT OKU terdahulu serta Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).
Menurut Noraini pemantauan pelaksanaan PT OKU itu akan dilaksanakan secara inklusif melalui MKB OKU dan empat jawatankuasa di bawah majlis itu.
"Kementerian telah merangka satu mekanisme pemantauan yang bersifat inklusif dan berstruktur, selain menyediakan saluran komunikasi untuk menerima pandangan serta aduan sekiranya terdapat perkara yang tidak mengikut pelaksanaan," katanya.
Beliau berkata pemantauan turut dibuat melalui penilaian berkala seperti kajian separuh penggal serta mesyuarat rentas kementerian yang dipengerusikan oleh Menteri.
"Daripada 10 jawatankuasa di bawah majlis, lapan daripadanya dilantik dalam kalangan OKU sendiri, selari dengan keutamaan kerajaan terhadap kesejahteraan OKU di Malaysia," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan lisan berasingan daripada Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, Noraini berkata pihaknya sedang memuktamadkan kerangka Rang Undang-Undang (RUU) Penjagaan dan Perlindungan Warga Emas sebagai langkah komprehensif melindungi kebajikan golongan itu sejajar dengan persediaan Malaysia menuju status negara tua menjelang 2030.
Beliau berkata kementeriannya telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dan akan meneruskan sesi seterusnya bagi memurnikan kerangka perundangan berkenaan.
"Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi juga sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan atau National Aging Blueprint (NAP) sebagai panduan strategik menghadapi cabaran negara tua. Ia merangkumi pendekatan rentas kementerian, termasuk aspek infrastruktur sosial serta dasar berkaitan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami