MALAYSIA

KPWKM sokong SOP baharu percepat kes mahkamah kanak-kanak

Bernama 18/10/2025 | 12:15 MYT
Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan hadiah kepada wakil sekolah yang memenangi acara Cerita Rakyat sempena Perasmian Program Kasih Keluarga dan pelancaran Kick Off Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 di Santubong. - Foto BERNAMA
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan sokongan terhadap prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi memastikan semua kes mahkamah melibatkan kanak-kanak diselesaikan dalam tempoh setahun.


Ringkasan AI
  • Menteri KPWKM Datuk Seri Nancy Shukri menyokong SOP baharu yang menetapkan kes mahkamah melibatkan kanak-kanak diselesaikan dalam tempoh setahun.
  • SOP itu selari dengan usaha memperkukuh perlindungan dan kebajikan kanak-kanak melalui kerjasama antara kementerian.
  • Garis panduan tersebut akan dilancarkan pada 24 Oktober sebagai langkah mempercepat prosiding mahkamah dan elak kelewatan kes.


Nancy berkata pelaksanaan SOP itu selari dengan tanggungjawab kementeriannya dalam menjaga kebajikan anak-anak.

"Memang itu satu daripada hasrat kita. Cuma kita tidak dapat mencampur aduk dengan bidang kuasa di bawah Bahagian Undang-Undang, jadi bila mereka yang pertama menyarankan, memang kita menyokong.

"Walaupun bidang kuasa terletak di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, prosedur ini amat membantu kementerian saya untuk memastikan semua langkah pentadbiran dan sokongan kepada kanak-kanak dijalankan dengan betul," katanya pada Majlis Perasmian Program Kasih Keluarga dan Pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 di Santubong, dekat sini.

Terdahulu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan pelaksanaan SOP baharu untuk kes mahkamah melibatkan kanak-kanak yang antara lain bagi memperkukuh perlindungan golongan itu dan memastikan kes diuruskan lebih sistematik.

Nancy berkata kerjasama antara kementerian berkaitan adalah penting bagi memastikan setiap kes kanak-kanak dapat diselesaikan secara cekap dan mematuhi garis panduan undang-undang.

"Alhamdulillah, sebab kita dari kementerian yang menjaga hal anak-anak ini, kita bergantung juga kepada kementerian bertanggungjawab untuk menyediakan prosedur yang membantu kita," tambah Nancy.

Azalina dilaporkan berkata garis panduan berkenaan akan dilancarkan pada 24 Okt ini di Istana Kehakiman sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem keadilan kanak-kanak di negara ini.

Beliau berkata langkah itu juga antara lain bagi mengatasi kelewatan prosiding mahkamah yang menyebabkan kanak-kanak enggan tampil semula sebagai saksi apabila dewasa.

-- BERNAMA


#KPWKM sokong #SOP baharu #kes mahkamah kanak-kanak #Nancy Shukri