Skip to main content

Malaysia

KPWKM terus perkasa ibu tunggal menerusi Program KasihnITa

[TB]_Program KasihnIta 2026 Peringkat Sarawak_FB Nancy Shukri
Nancy Shukri berkata program yang dirancang sejak sekian lama itu dilaksanakan secara berperingkat, dengan Sarawak menjadi lokasi terbaharu selepas Selangor. - Foto Facebook/Hajah Nancy Haji Shukri
Advertisement

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) terus memperkasa golongan ibu tunggal dengan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi menyediakan khidmat nasihat, bantuan serta pendedahan mengenai pengurusan kewangan dan kebajikan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata program yang dirancang sejak sekian lama itu dilaksanakan secara berperingkat, dengan Sarawak menjadi lokasi terbaharu selepas Selangor.

"Program ini menghimpunkan agensi berkaitan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia, Jabatan Bantuan Guaman (JBG) serta institusi kehakiman syariah bagi memberi penerangan mengenai perkhidmatan dan bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh ibu tunggal," katanya selepas merasmikan Program KasihnITa 2026 Peringkat Negeri Sarawak di sini pada Ahad.

Beliau berkata peserta turut didedahkan dengan pengetahuan mengenai pengurusan kewangan bagi membantu mereka merancang kewangan keluarga dengan lebih berkesan.

Nancy berkata KPWKM juga mahu mendapatkan maklum balas secara langsung daripada peserta bagi memastikan dasar dan peruntukan yang dirangka pada masa hadapan benar-benar memenuhi keperluan golongan sasar.

"Kita tidak mahu ada wanita yang tercicir daripada arus pembangunan. Matlamat kita adalah melahirkan masyarakat yang lebih inklusif, sejahtera dan berdaya tahan melalui ilmu serta sokongan yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata kira-kira 130 peserta menyertai program yang berlangsung selama tiga hari itu.

Mengulas isu tuntutan nafkah anak, Nancy berkata program itu turut memberi peluang kepada ibu tunggal mendapatkan penerangan daripada Jabatan Bantuan Guaman dan institusi kehakiman syariah mengenai tindakan yang boleh diambil sekiranya bekas suami gagal mematuhi perintah mahkamah berkaitan pembayaran nafkah.

Beliau berkata bantuan yang disediakan bukan sahaja tertumpu kepada aspek kewangan, malah meliputi sokongan dari segi proses perundangan bagi membantu ibu tunggal mendapatkan hak anak-anak mereka.

"Program seperti ini memberi keyakinan kepada mereka bahawa mereka tidak bersendirian. Mereka boleh berkongsi pengalaman dan saling menyokong dalam meneruskan kehidupan bersama keluarga," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement