[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

KPWKM terus perkasa wanita dalam ekonomi digital menerusi program Wanita Gig@BIT 2025

Bernama 12/06/2025 | 12:15 MYT
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika sidang media selepas Program Wanita Gig and Business In Technology (Gig@BIT) 2025 di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkasa wanita dalam bidang ekonomi digital menerusi program Wanita Gig and Business In Technology (Gig@BIT) 2025.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata seramai 350 peserta menyertai inisiatif anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu bagi kali kedua tahun ini, yang memberi peluang kepada wanita menjana pendapatan dalam ekonomi digital serta membina daya tahan digital dalam menghadapi cabaran dunia moden.
"Program ini menyasarkan akses lebih luas kepada sektor seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di samping membekalkan ilmu serta kesedaran mengenai keselamatan siber," katanya ketika berucap merasmikan Wanita Gig@BIT 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah JPW Hanani Sapit.
Nancy berkata program seperti Wanita Gig@BIT, Program Kemahiran Penjanaan Pendapatan (KIRANA), Iron Women, dan Wanita Bangkit Bersasar memberi fokus kepada penyediaan akses latihan dan pembangunan kapasiti atau 'upskilling dan reskilling' kepada wanita untuk kembali berdiri kukuh dalam dunia pekerjaan khususnya dalam sektor digital dan keusahawanan.
NANCY-GIG@BIT 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu juga selari dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan 2025-2030 yang menjadi hala tuju memperkasa wanita dari aspek ekonomi, kepimpinan dan perlindungan sosial.
Majlis turut menyaksikan pelancaran simbolik program Maxis eKelas Usahawan@JPW, iaitu inisiatif sampingan bersama rakan strategik KPWKM.
Sementara itu, pada sidang media, Nancy memaklumkan KPWKM masih mengumpul maklum balas berkaitan Rang Undang-Undang Warga Emas bertujuan menjaga kepentingan golongan itu sebelum dibentangkan di Parlimen.
"Apabila semuanya selesai dan bersedia, kita akan bawa ke Jemaah Menteri sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara (AG)," katanya sambil menambah proses itu turut mengambil kira perkembangan semasa dalam dan luar negara berkaitan warga emas bagi mengenal pasti jenis pembangunan yang diperlukan, terutamanya dari aspek infrastruktur.
-- BERNAMA
#KPWKM #Wanita Gig BIT 2025 #ekonomi digital #Nancy Shukri